Pencalonan mengejutkan nama besar dalam politik Kelantan, Datuk Husam Musa bertanding di kerusi KEADILAN, parlimen Pasir Mas diharap mampu membina momentum sokongan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Menurut Setiausaha KEADILAN Negeri Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan, pengumuman malam tadi telah memberi suntikan semangat dalam meningkatkan lagi daya juang aktivis parti di negeri yang terkenal sebagai kubu kebal Pas itu.
“Datuk Husam tokoh yang sudah dikenali di Kelantan dan juga di peringkat nasional. Nama dia satu nama yang besar. Jadi kita di pihak KEADILAN Kelantan mengalu alukan beliau bertanding di Pasir Mas.
“Sebab gerakan dia sebelum ini, dia buat satu gerakan Save Kelantan (memperjuangkan hak rakyat tanpa mengira parti). Di mana Save Kelantan itu mendapat satu momentum besar. Dan dia telah membongkar banyak kepincangan yang berlaku dalam Kerajaan Pas negeri ini yang mana kita dapat respons rakyat cukup baik melalui program tersebut
“Ini saya rasa di mana Datuk Husam bertanding, di Pasir Mas, saya harap satu momentum baharu akan terbentuk sebab kita ada nama besar dalam KEADILAN kali ini yang bertanding di Kelantan,” katanya.
Oleh itu, beliau yang juga mantan Ketua Cabang KEADILAN Kota Bharu berharap rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang itu akan membuka mata terhadap barisan calon KEADILAN yang dibarisi kebanyakannya golongan profesional.
“Calon calon yang kita ketengah kali ini boleh dikatakan antara terbaik. Kita ada ahli korporat, doktor, kita ada tokoh besar seperti Datuk Husam, kita ada tokoh wanita dan ramai lagi yang banyak pengalaman serta kelebihan masing masing,” katanya.
Bagi pengundi muda pula, ulas beliau, maklum balas yang diterima adalah positif dan mereka mahu kepada perubahan serta tidak lagi mahu terus menerus menyokong Pas.
Cuma, katanya cabaran kepada KEADILAN adalah untuk memastikan generasi muda itu menyokong Pakatan Harapan bukannya BN.
“Setakat ini respons pengundi muda amat positif. Mereka memang mahu perubahan. Kita cuba buat survey untuk anak muda pun memang mereka kata tak mahu Pas.
“Cuma kita risau dia tak nak Pas tetapi dia tak pilih PH. Itu sahaja kita takut. Tetapi kita sekarang aturkan program supaya anak muda ini nanti akan sokong PH
“Program kita dah bermula. Baru ini kita buat program pelancaran bendera PH di Bachok. Dan kita akan buat banyak program sampai ke hari pengundian,” katanya lagi.
KEADILAN Kelantan sepanjang sejarah berkerjasama dengan Pas pernah memenangi beberapa kerusi dalam PRU 1999, 2008 dan 2013. Namun tidak memenangi sebarang kerusi dalam PRU 14 lalu apabila politik Kelantan didominasi pengaruh Umno dan Pas sahaja.