Pemansuhan hutang pinjaman pendidikan bagi golongan B40, jaminan sosial keselamatan pekerja gig serta biasiswa pendidikan bagi pelajar keluarga berpendapatan rendah adalah antara tawaran Angkatan Muda Harapan (AMH) pada Pilihan Raya Umum ke 15.
Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda Harapan, Adam Adli Abdul Halim, skim pengampunan hutang itu akan memberi kelebihan kepada pelajar daripada kalangan B40 untuk membantu keluarga masing masing berbanding menyediakan dana pembayaran balik pinjaman pendidikan.
“Program pemansuhan hutang bersasar khas kepada golongan miskin isi rumah B40 akan diperkenalkan.
“Jadual pembayaran semula pinjaman PTPTN pula akan dilaksanakan berasaskan gaji. Bagi graduan baharu gaji bermula RM4,000 (dikenakan bayaran balik) dengan peratusan yang meningkat mengikut (kadar) gaji.
“Kalau dilihat isu ini, ianya sama dan dengan janji yang penah diangkat dalam PRU 14 lalu tetapi tidak dilaksanakan kerana kita tahu yang mengetuai PTPTN itu siapa, dan dia berada di mana hari ini,” katanya dalam sidang media AMH tengah hari tadi.
Adam berkata, PH juga akan mewujudkan biasiswa kepada pelajar dari kalangan keluarga B40 bagi memudahkan mereka menyambung pendidikan ke peringkat tinggi.
“HARAPAN akan memperkenalkan biasiswa B40 bagi mengurangkan kebergantunagn golongan tidak berkemampuan ini. Mereka tidak perlu berhutang terlalu banyak untuk menyambung pengajian. Kita berazam tingkatkan lagi program biasiswa,” katanya.
Selain itu, PH juga kata beliau akan memperkenalkan skim galakan kepada belia yang menceburi sektor ekonomi baharu dan tidak difikirkan banyak pihak sebelum ini.
“Kita akan perkenalkan biasiswa perintis, iaitu peluang kepada belia yang menceburi bidang caretaker dan caregiver bagi kanak kanak, warga emas dan OKU.
“Juga sektor pertanian moden dan sektor hijau. Ini sektor yang sebenarnya dapat memberi pulangan kepada mereka melalui program up-skilling dan re-skilling. Ini bagi memastikan kelestarian pekerjaan anak muda” katanya.
Manifesto AMH juga, kata Adam, menjanjikan lebih banyak tempat kepada semua pelajar lepasan SPM dan STPM yang cemerlang ke IPTA bagi memastikan anak anak yang benar benar layak mendapat pendidikan mengikut pencapaian atau merit.
Manakala bagi pekerja ekonomi gig pula, katanya, mereka akan dilindungi undang undang yang lebih baik agar tidak berlaku eksploitasi dari mana mana pihak.
“Bagi melindungi pekerja ini jaminan keselamatan sosial meliputi penubuhan badan kawal selia, kontrak perjanjian lebih baik, skim insurans hayat percuma dan pampasan khairat kematian RM10,000 untuk 6 juta pekerja gig, terutama melibatkan rider. Ini paling banyak terkesan dan pilihan pekerjaan utama sekarang,” katanya.
Kad siswa yang telah diperkenalkan sebelum ini, jelas Ketua Angkatan Muda KEADILAN itu akan dinaik taraf dan memberi lebih banyak manfaat kepada pemegangnya.
“Kita ada kad diskaun siswa sebelum ini. Kad Belia adalah naik taraf kad siswa itu dan akan digunakan anak muda berumur 13 hingga 25 tahun. Pemegang kad akan mendapat faedah serta diskaun di tempat perniagaan terpilih yang boleh memberi manafaat kepada mereka. Misalnya gedung buku atau berkait dengan (pendidikan) penambahan skil pekerjaan dan sebagainya,” ujar beliau.
Adam turut menyentuh mengenai pembinaan keluarga bahagia. Hal itu, katanya meliputi menangani kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak kanak yang menyebabkan berlakunya kebantutan 1 daripada 5 kanak kanak di negara ini.
“1 dari 5 kanak kanak bawah umur 5 tahun mengalami masalah bantut. Bantuan bulanan untuk setiap keluarga akan diberi mengikut bilangan anak umur di bawah 6 tahun bagi tujuan meringankan beban keluarga miskin dan memastikan pertumbuhan anak sihat,” katanya lagi.