Kenaikan gaji menjadi isu yang utama dalam kalangan pekerja di negara ini.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, kenaikan gaji yang seolah olah ‘tepu’ sejak dua dekad lalu di Malaysia menyebabkan sektor pekerjaan profesional tidak menarik bagi generasi muda, menyebabkan mereka beralih ke pekerjaan gig yang tidak memerlukan tahap pendidikan tinggi.
“Kita berdepan dengan generasi datang yang semakin tidak yakin dengan pendidikan.
“Sebab itu krisis gaji rendah ini memerlukan penyelesaian di luar kotak. Negara tidak lagi boleh membiarkan majikan dan pekerja semata-mata merundingkan dan menetapkan gaji mengikut kehendak pasaran, kerana sampai bila-bila ia tidak akan naik dengan kadar yang cepat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mantan Ahli Parlimen Pandan itu menyarankan agar kerajaan mengambil tanggungjawab menyediakan sistem gaji dan pekerjaan yang lebih bersesuaian. Di mana, katanya, kadar skil pekerja akan ditambah dan secara relatifnya gaji juga akan meningkat.
“Soal gaji berkait rapat dengan struktur ekonomi negara, iaitu tahap nilai tambah yang dihasilkan ekonomi.
“Lebih tinggi nilai tambah, kepakaran yang diperlukan juga lebih tinggi, maka pekerja juga mendapat gaji yang lebih tinggi bersesuaian dengan kepakaran.
“Tanggungjawab menganjakkan struktur ekonomi negara ke tahap nilai tambah yang lebih tinggi ini adalah tanggungjawab kerajaan. Kita bayar menteri-menteri untuk melaksanakan ini tetapi mereka telah gagal,” katanya.
Oleh itu kerajaan Pakatan Harapan kelak, kata Rafizi, akan membawa anjakan paradigma dalam dasar gaji dengan campurtangan kerajaan yang agresif bagi menaiktaraf ekonomi Malaysia ke arah berpendapatan tinggi.
“Kerajaan akan menetapkan sasaran gaji purata yang perlu dijadikan dasar utama ekonomi negara
“Kerajaan dalam hal ini perlu menyuntik dana untuk memastikan pertumbuhan gaji tahunan mengikut sasaran 10 tahun yang ditetapkan,” katanya.
Kerajaan juga, kata Rafizi akan memberi insentif kewangan dan percukaian kepada majikan distrukturkan supaya berkait dengan sasaran gaji purata nasional
“Kenaikan gaji tahunan juga akan berpandu kepada nilai tambah ekonomi untuk mengukuhkan pendapatan majikan, kemudiannya diagihkan kepada pekerja secara lebih adil
“Saya mungkin golongan ahli politik yang minoriti yang bercakap mengenai hal gaji, tapi saya tahu majoriti rakyat di luar sana setuju dengan saya,” katanya.
Justeru Rafizi menasihatkan rakyat agar memilih parti yang mengutamakan penstrukturan skim gaji dalam Pilihan Raya Umum ke 15 ini.