Berbeza dengan manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14, Tawaran HARAPAN yang dilancarkan hari ini tidak bersifat populis dan mempunyai asas untuk dilaksanakan.
Hal itu ditegaskan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas pelancaran manifesto PH pagi tadi.
“Jawatankuasa yang diamanahkan untuk merangka awal mengambil kira kos dan juga implikasi kewangan keseluruhannya, dan juga tuntutan dari rakyat.
“Jadi untuk mengatakan ini sebagai tidak realistik atau populis saya rasa kurang tepat. Baca dulu dan lihat. Dia (manaifesto) harus menyentuh dan menyantuni rakyat maka dia harus juga popular.
“Tetapi dia juga harus terikat dengan kerangka besar pemahaman kita tentang ekonomi, menjana pertumbuhan, memastikan pertumbuhan ekonomi itu lebih mapan. Tetapi pertumbuhan harus menjaga kepentingan rakyat melalui program penjagaan yang betul. Kalau sekarang ini apa yang berlaku kontrak besar, dulu 1MDB, sekarang DNB semua itu diguna untuk memperkaya segelintir kecil. Kalau itu dapat dihentikan maka pengagihan lebih adil bagi rakyat,” katanya.
Bagi jangka masa bertindak pula, menurut bakal Perdana Menteri ke 10 itu, PH menetapkan 5 tahun atau sepenggal untuk melengkapkan kesemua tawaran yang dibuat.
Namun begitu, beliau berjanji tidak akan mengulangi manifesto PH 2018 yang mungkin tidak begitu kemas disediakan pada waktu itu.
“Kita ada jangka masa 5 tahun. Tetapi kita ada keutamaan yang kita mula sekarang, tertakluk kepada keupayaan kewangan.
“Jawapan kita ialah komitmen mesti diteruskan kerana saya tidak ada pengalaman 2018. Kali ini (manifesto) dibahaskan dengan teliti dan lihat implikasi kewangan. Kita percaya keupayaan dan (perkara) dilaksanakan segera,” katanya.
Mengulas mengenai sokongan yang diterima PH ketika ini, Anwar berpuas hati dan menganggap ianya dalam keadaan terbaik.
Cuma beliau menyeru pengundi Atas Pagar mempertimbangkan untuk menyokong PH bagi mewujudkan sebuah negara yang bersih daripada rasuah dan meletakkan kembali Malaysia ke atas landasan pembangunan yang betul.
“Rayuan saya kepada Atas Pagar ialah untuk menggunakan peluang ini memilih wakil rakyat yang komited kepada agenda refomasi.
“Sebab kalau tidak, dan pilih misalnya wakil dari BN, ia akan membawa ke sistem korup, PN pula berkecamuk seperti dilihat dalam isu Covid (era PM Muhyiddin Yassin) yang tidak telus. Jika mahu Malaysia masuk ke dalam landskap politik baru, tadbir urus, akauntabiliti, demokratik, kita harus memutuskan dan undi wakil yang mewakili polisi PH” katanya.
Anwar dalam pada itu menganggap keadaan dua lagi gabungan yang menyaingi PH tidak benar benar mantap dan PH mendahului mereka dari segi sokongan popular.
“Kita lihat keadaan berkecamuk dalam BN, dalam PN pula kita lihat Pas boleh sokong Gerakan yang menentang hudud terang terangan, dan dalam masa sama dia serang DAP. Saya lihat Gerakan umpamanya mengeluarkan kenyataan yang jauh lebih keras terhadap Islam tetapi itu dikompromi. Itu dijadikan isu dalam ulasan kita menjawab. Saya tidak fikir ini masalah.
“Cuma untuk sekarang kita mahu mencari simple majority dan inshaAllah dengan kempen dan tahap sokongan seperti dilihat di Miri dan Tuaran semalam, orang lebih teruja untuk menyokong PH
“Waktu ini kita di depan. Apa yang kita mahu pengundi Atas Pagar memberi kami mandat untuk menyelamatkan negara ini dari korupsi,” katanya.
Butiran lanjut manifesto boleh diikuti di: www.kitaboleh.my