Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 mencipta sejarah apabila pilihan raya dibuat untuk memilih Perdana Menteri (PM) kerana hanya 3 negeri yang dibubar DUN di seluruh negara.
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat seharusnya sedar naratif pilihan raya kali ini adalah untuk memilih PM, bukannya Menteri Besar atau isu isu di peringkat negeri terutama di negeri yang DUN tidak bubar.
“Saya ulang sekali lagi, kita nak pilih Kerajaan Persekutuan. Calon PM ada 3. Ismail, Muhyiddin dan Anwar. Tetapi bukan soal calon. Soalnya apa beza Ismail dan Muhyiddin jadi PM? Sama sahaja.
“Jadi saya tawarkan dasar dan sistem yang berbeza. Tak tolak ansur dengan yang curi balak, curi kontrak. InshaAllah, Allah beri kekuatan kepada kita (buat perubahan)
“Kelantan ni tak Umno Pas, tak Pas Umno. Tak cukup. Lama dah beri peluang (kepada Umno – Pas). Kali ni try puak puak ambo ni sekali,” katanya dalam ceramah memperkenalkan calon parlimen Pasir Mas, malam tadi.
Anwar yang cuba berucap dialek Kelantan mendapat rentaknya apabila mempersoalkan kerajaan Pas yang telah memerintah puluhan tahun tetapi tidak banyak kemajuan yang dibawa.
Beliau mempersoalkan Menteri Air yang berasal dari Kelantan tetapi tidak mampu menyelesaikan isu bekalan air berkarat atau ‘air tebeng’ di negeri itu biar pun mempunyai peruntukan Kerajaan Persekutuan.
“Pilihan raya buat apa? Nak tubuh kerajaan, nak tolong rakyat. Kecek lah hebat pun, bawa Quran, hadis semua tetapi untuk apa? Kerajaan ini untuk jaga amanah jadi baik, jadi molek.
“Air minum (patut bersih), bukan air teh (tebeng). Jadi kerajaan tanggungjawab bela rakyat. Kelantan negeri miskin. Ini pilihan raya bukan putuskan Kerajaan Negeri. Ini nak pilih kerajaan Malaysia.
“Bagi lah ambo peluang bersama Husam, InshaAllah kita bawa perubahan. Sudahlah rasuah, curi balak sudah, tambah judi sudah. Mercedes (Exco) baru tak payah lah.
“Kita nak guna peluang ini buat terbaik. Masalah air boleh selesai. Pas tak selsai. Menteri Air pun Pas. Tanya harga barang pula, di KL naik, di Sarawak naik. Menteri 70 orang buat gapo dio?
“Bila saya cakap, Anwar tentang ulama. Bila saya tentang? Isu air kena selesai, isu jalan kena selesai.
“Harap Menteri Umno, Bersatu, Pas tak berani (bertindak). Serah kepada Anwar InshaAllah,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata, kunjungannya ke Kelantan bukan untuk mencari masalah dengan pimpinan Pas tetapi untuk memberi kesedaran kepada rakyat negeri itu agar melakukan perubahan pada 19 November ini
Beliau menolak tohmahan yang dibawa oleh pemimpin Pas kononnya beliau kurang Islamik. Sebaliknya menyatakan ketika beliau seorang diri memperjuangkan dasar Islam dalam kabinet Umno BN pada 1980 dan 1990an lalu lebih banyak kejayaan yang dilihat berbanding prestasi ulama Pas dalam kabinet BN – PN.
“Masa Umno BN cabutan judi berapa kali? 22 kali. Masa PH turun 8 kali. Mari Pas naik 22 kali.
“Zaman saya Menteri dulu buat Bank Islam, buat universiti Islam, perkenal pendidikan Islam, solat jemaah di sekolah.
“Saya Anwar seorang saja Menteri dalam kabinet (memperjuang dasar Islam). Ini menteri bukan main ramai, buat lah (perubahan) kecek gapo dio lagi,” katanya disambut sorakan para hadirin.