Pengundi yang akan memilih kerajaan pada 19 November ini diperingatkan sekiranya mahu Malaysia pulih maka Umno BN bukanlah pilihan wajar kerana parti itu tidak akan mendapat lebih daripada 75 kerusi, dan akan mewujudkan kerajaan huru hara sebagaimana yang berlaku sejak 2020 sehingga sekarang.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari, hanya Pakatan Harapan (PH) yang mampu memberi kestabilan politik sekiranya dipilih membentuk kerajaan baharu.
“Bila kita sebut nak kestabilan maka Umno BN bukan pilihan kita. Mahukan kemakmuran dan stabiliti, nak dilayan dengan baik maka pilih PH.
“Mungkin 22 bulan ada kesilapan. Tetapi kesilapan itu manipulasi musuh. Sebahagiannya kerana kegagalan komunikasi.
“Saya ambil contoh Tabung Haji (TH). Orang Melayu sebut TH nak kena jual tetapi selepas kerajaan PH jatuh kerajaan PN terpaksa setuju di parlimen, respons Menteri kata langkah PH selamatkan TH betul, untuk elak TH runtuh kerana rasuah,” katanya dalam Ceramah Mega Ayuh Malaysia Kita Boleh, di Pandan malam tadi.
Di peringkat parlimen Pandan, kata beliau, calon terbaik PH Rafizi Ramli telah kembali dan diharap akan membantu memulihkan ekonomi Malaysia yang hampir terjun gaung pada ketika ini.
Rafizi, kata Amirudin, telah membongkar banyak penyelwengan BN dan akan berusaha memperbaikinya.
“Saya minta rakyat Selangor jangan fikir lagi nak pilih siapa. Pilih PN jangan. Lebih lebih lagi kita ada pemimpin cemerlang dalam generasi saya dan rakan rakan. Hero yang paling cemerlang dedah penyelewengan. Bukan sahaja isu kapal, dia boleh cari lembu dalam kondominium.
“Pemimpin macam inilah yang perlu diberi kepercayaan untuk diundi. Pilihan kita calon nombor 1 saudara Rafizi wakil PH,” katanya.
Selain itu, Amirudin juga mahu pertolongan pengundi di Gombak untuk membantunya menumbangkan pengkhianat mandat rakyat di parlimen berkenaan.
“Tuan tuan yang ada saudara mara di Kedah, Melaka, Johor (tolong sampaikan mesej tolak BN – PN), juga tolong saya di Gombak.
“Mula mula nak masuk Gombak ngeri juga. Tetapi sejak diumumkan hari pertama sampai hari ini mesej mereka (yang temui atau di media sosial) sama dan sekata ‘all the best Amir, pastikan pengkhianat tidak muncul lagi di Gombak’,” katanya.
ADUN Sungai Tua itu turut memberi peringatan kepada rakyat pada 19 November ini adalah peluang terbaik untuk mereka merobah kerajaan kerana Malaysia telah sampai ke tahap meminjam untuk membayar hutang. Tahap yang lebih teruk adalah krisis ekonomi yang tidak diingini oleh sesiapa pun