Kaedah berpolitik orang Melayu perlu berubah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 ini.
Menurut Setiausaha Gabungan Reformis Malaysia (GRM) Kapten (B) Zulkifli Othman, cara berpolitik Melayu sejak era 1960an, menetapkan kerusi Umno atau Pas perlu dimenangkan untuk survival orang Melayu melawan DAP telah merugikan mereka apabila pemimpin yang dilantik kemudiannya lebih banyak mengkayakan diri sendiri daripada memperjuangkan kepentingan bangsa.
Bagi Zulkifli, tiba masanya Melayu menggunakan kaedah berpolitik Cina atau India yang menghukum pemimpin mereka yang melupakan perjuangan serta meninggalkan hanya beberapa orang untuk memperbaiki parti MCA atau MIC.
“Kita sayang kepada Umno maka seeloknya kita tinggalkan ketuanya saja. Biar hari ini pemimpin Umno belajar perbaiki diri. Dulu kita dalam KEADILAN pun orang Melayu tolak, tinggal Dr Wan Azizah saja di Permatang Pauh. Kemudian kita perbaiki diri dan menangi sokongan rakyat.
“Lihat orang Cina ajar pimpinan MCA dengan kekalkan presidennya sahaja di Air Hitam (PRU 2018). Kita kena sayangkan anak cucu kita. Jadi tinggalkan Umno kerusi yang sedikit, Pas juga begitu. Supaya jangan mati dan menjadi pembangkang yang berkerja,” katanya.
Manakala undi orang Melayu, ujar Zulkifli, boleh dialihkan ke calon calon Melayu Amanah dan KEADILAN yang menjadi komponen Pakatan Harapan.
Selain itu, katanya, orang Melayu usah lagi termakan hujah karut marut melabelkan DAP komunis sebagaimana menjadi modal berkempen Pas ketika ini.
Hakikatnya, kata beliau, Umnolah yang pernah mendakwa parti itu ada kerjasama dengan parti komunis di China.
“Orang Melayu dimomokkan kerana kurang pengetahuan. Kononnya akan hilang kuasa jika DAP memerintah. Kita kena realistik jumlah kerusi DAP 44 saja, peratus pengundian pula 23% sahaja
“Kerusi itu pula tak boleh bertambah kerana pengundi kaum Cina minioriti.
“Sedangkan kita tahu tentera 80% bangsa Melayu, polis 90% Melayu. Badan kehakiman Melayu. Raja Melayu, jadi bagaimana mungkin Cina menguasai pemerintahan,” katanya.
Kepada anak muda beliau berpesan, PRU kali ini adalah peluang untuk memilih kerajaan yang boleh menjamin masa hadapan mereka menjadi lebih baik dan tidak terus menerus menghadapi huru hara politik seperti tempoh 2020 – 2022.
“Anak muda kena ada jiwa merdeka. Pemuda mewakili 40% pengundi, kalau jiwa tidak merdeka siapa nak bela nasib mereka?
“Kerajaan yang ada sebelum ini gagal membentuk pemerintahan yang berkualiti. Kakitangan kerajaan rasa terancam kerana alami kerenah birokrasi. Jadi tiba masa untuk kita berubah,” katanya lagi.