Parlimen Ampang yang menjadi tumpuan utama KEADILAN selain Gombak untuk dikekalkan seabgai milik Pakatan Harapan (PH) menunjukkan sokongan yang memberansangkan.
Menurut calon Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, pengundi di Ampang setakat yang ditemui akan memberi sokongan kepada beliau berdasarkan keterlibatan mereka dalam program dan kempen. Termasuk juga anak muda, katanya, yang kali ini merupakan kelompok pengundi yang besar.
“Saya ingat saya sudah mula jumpa anak muda. Sehari dua ini pula banyak permohonan lepak bersama anak muda. Mereka nak tahu kalau menang apa yang mereka boleh lakukan bersama. Saya mengalu alukan anak muda ambil kisah tentang pilihan raya. Kedua ini adalah masa depan mereka.
“Saya bertemu anak muda, mereka bicarakan kesukaran hidup mereka cari pendapatan, mereka pun ingin meningkatkan kehidupan tetapi ruang agak sempit.
“Bagi saya mereka kena tingkakan sikit kehidupan. Bila kami diberi mandat nanti kami akan berikan skil tambahan untuk mereka dapat pendapatan setimpal. Jika tidak mereka setakat kerja Grab. Anak muda akan menjadi pengganti generasi akan datang. Kita mahukan kestabilan ekonomi mereka,” katanya.
Mengenai komen pemimpin PBM Zuraida Kamarudin yang berkata beliau akan menyokong mana mana parti yang menang dan membentuk kerajaan, Rodziah menyifatkan ahli politik mesra BN tersebut sedang dalam kesunyian menghadapi pilihan raya.
Katanya, jika PH menang PRU kali ini tidak mungkin gabungan itu akan menerima ahli politik seperti Zuraida yang menjadi punca jatuhnya Kerajaan PH pada 2020 lalu.
“Beliau boleh mohon tetapi pada saya mungkin dia baru sedar dari mimpi, beliau bersendirian. Saya rasa tak mungkin buat masa ini, saya rasa tidak mungkin pimpinan PH akan terima insan begini. Itu angan angan beliau lah.
“Sebab saya rasa beliau dah mula rasa sunyi,” katanya.
Ditanya apakah keutamaan yang akan digerakkan di kawasan Ampang sekiranya menang, Rodziah berkata isu perumahan rakyat akan diutamakan.
Katanya, beliau mahu kawasan perumahan mampu milik diperbanyakkan. Juga kerajaan menyediakan rumah yang boleh disewa dengan harga berpatutan kepada golongan bujang dan baharu berkahwin bagi membantu mereka hidup di bandar besar.
“Tawaran kita bukan sahaja untuk membeli rumah tetapi untuk mereka menyewa rumah atau sewa dulu baru dimiliki.
“Membina unit rumah satu bilik untuk bujang, dua bilik untuk yang baru berkahwin dan 3 bilik atau 4 bilik.
“Kita ada empat jenis dan harganya tetap tidak melebihi RM250,000
“Lokasinya di tanah yang belum dimajukan. Bagi rumah sewa untuk bujang dan berkahwin boleh dapatkan satu tapak khusus, menjadi rumah hak milik kerajaan,” katanya.