Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang lebih tertumpu kepada memilih Perdana Menteri (PM) ke 10 hampir ke penghujungnya.
Tinggal 4 hari sebelum membuang undi, rakyat di seluruh negara perlu memfokuskan pilihan kepada 3 calon PM, iaitu Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, PM kerajaan peralihan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi PN Tan Sri Mahiaddin Yassin dalam misi penting memulihkan ekonomi negara.
Menurut Penyelaras Gabungan Reformis Malaysia (GRM) Mustaffa Kamil Ayub, dalam ketiga tiga pilihan itu rakyat seharusnya melihat Anwar sebagai calon terbaik kerana beliau belum dicuba sebagai PM sedangkan dua calon lain adalah PM gagal sebelum ini.
“Kempen PRU 15 telah pun menghampiri garisan penamatnya.
“PRU 15 ini memberikan fokus kepada memilih PM10 Malaysia bagi membetulkan hala tuju negara, membangun Negara Madani sekaligus melonjakkan semula imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Justeru GRM mendukung penuh Datuk Seri Anwar dan calon-calon PH dalam PRU15 ini. Sokongan yang kuat daripada pengundi rakyat Malaysia amat diharapkan bagi menjayakan hasrat murni ini,” katanya.
Menurut beliau, Anwar adalah tokoh yang telah teruji sebagai Menteri Kewangan terbaik Asia pada 1990an lalu, dan terus memberikan idea idea bernas ketika negara dilanda wabak Covid 19 sehingga digunapakai oleh kerajaan PN yang memerintah pada waktu itu
“DSAI juga dilihat sebagai satu-satunya tokoh yang mampu membangunkan Negara Madani Malaysia dengan teras rukunnya kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sekali gus menjadi pemersatu dan melakar persefahaman baharu politik Malaysia.
“Dengan 36 dasar keutamaan negara Madani antara lainnya; Mengurangkan gaji Menteri, melupuskan hutang PTPTN bagi keluarga B40, menghapuskan tol bagi B40, dan menghapuskan hutang peserta FELCRA mampu membela rakyat seluruhnya.
“Latarbelakang pengalaman beliau amat kukuh sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Pemangku Perdana Menteri, Menteri Kewangan yang baik, pemimpin gerakan Islam nasional dan antarabangsa, penggerak institusi pendidikan yang tegar serta daya juang dan daya tahan yang tinggi sehingga dipenjara beberapa kali demi rakyat perlu ditimbang sedalam dalamnya sebelum pengundi membuang undi,” katanya.
Oleh itu, kata beliau GRM mengharapkan rakyat Malaysia bijak dipeti undi pada 19 November ini dan seterusnya melorongkan jalan kepada Anwar menerajui Malaysia sebagai PM ke 10.
“GRM merayu agar seluruh pengundi memberikan peluang sewajarnya kepada Datuk Seri Anwar dengan mengundi calon-calon PH pada 19 November 2022 ini.
“Semoga sabtu ini menjadi detik kejayaan pengundi bersama Datuk Seri Anwar, PH dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh 11 NGO yang antaranya Persatuan Rapat Rakyat, Pertubuhan Kebajikan Pahlawan Malaysia (PAHLAWAN), Jingga 13 Malaysia, Otai Reformis, Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM), Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ARM) dan banyak lagi.