Kempen pada saat akhir PN semakin mengelirukan apabila pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin berkata beliau membaca dalam kumpulan WhatsApp Yahudi bahawa ada gerakan yang disusun menggunakan Pakatan Harapan untuk menguasai Malaysia.
Oleh itu, Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli mencabar Muhyiddin atau nama panggilannya Abah untuk menjelaskan bagaimanakah beliau boleh berada dalam group WhatsApp tersebut dan membaca mesej berkenaan.
“Abah kata pagi tadi, dia baca WhatsApp group Yahudi yang mengambil mahu PH menang kerana kalau PH menang agenda Yahudi akan tercapai.
“Kalau ada Muhyididn aku nak tanya. Korang kat depan ini siapa pernah jumpa Yahudi? Ramai mana orang Malaysia yang pernah berjumpa Yahudi?
“Macam mana kau (Abah) masuk group WhatsApp Yahudi. Kat Malaysia Yahudi tak ada. Macam mana pula dalam kumpulan Yahudi tiba tiba ada Muhyididn dalam itu? Kalau nak scam pun buat la skrip baik baik. Jangan tipu macam itu,” katanya dalam ceramah Ayuh Malaysia di Putrajaya malam tadi.
Rafizi turut memberi maklumat terkini bahawa Pakatan Harapan telah pun menjadi blok terbesar di parlimen berdasarkan kajian sokongan dan boleh berunding dengan mana mana pihak untuk membentuk kerajaan.
Manakala pesaing PH yang paling hampir, BN, katanya mungkin mampu mendapat sekitar 50 kerusi sahaja.
“Sekarang BN tahu mereka hanya boleh dapat 40 – 50 kerusi, PN tidak boleh lepas 30 kerusi. Kalau mereka bergabung pun belum boleh atasi jumlah kerusi PH.
“Sebab itu Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan sebut mereka akan kerjasama dengan Umno. Awal kempen mereka kata PN Best, awal dulu Umno kata demi kestabilan. Sekarang mereka nampak wajah sebenar. Umno berterabur,” katanya.
Calon Ahli Parlimen Pandan itu berasa kasihan terhadap Presiden Umno Zahid hamidi yang beberapa bulan dahulu dengan bongkaknya mahu mengadakan pilihan raya dalam musim banjir.
Namun kini katanya, tiada apa yang boleh dilakukan oleh Zahid dan Umno yang akan sama sama lemas dalam banjir.
“Siapa boleh lupa bongkaknya Zahid nak buat PRU musim banjir. Bila kita sebut utamakan nyawa dan kebajikan rakyat Zahid sambut Umno akan harung banjir.
“Saya nak tanya sejak 2 minggu kempen PRU ni ada lihat Zahid atas bot ke?
“Bot entah ke mana, pilihan raya entah ke mana. Lain kali dengar cakap rakyat. Orang kata jangan bongkak buat PRU masa banjir.
“Sekarang jadi macam Zahid, bukan sahaja kalah PRU, bukan sahaja banjir tetapi yang akan lemas ialah Umno dan Zahid,” katanya.