Oleh: Dr Mohd Amin
ULASAN: Mungkin ramai merasakan tidak logik dirintis kerjasama politik Pakatan Harapan (PH) dan BN. Namun ini mungkin gabungan untuk menyelamatkan Malaysia.
Kenapa perlu gabungan ini?
Pertama, BN tiada pilihan. Do or die. BN parti yang paling rugi jika bergabung dengan PN kerana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mei 2023 mereka hanya one to one dengan Pas-PN di Kelantan dan Terengganu
Kedua, negara nazak. Ketika rakyat susah PN tiada solusi untuk menyelamatkan negara. Di Kelantan rakyat menderita. Di Terengganu PN mengkayakan markas mereka.
Ketiga, sentimen perkauman DAP vs Islam ekstremis tidak akan membantu negara di persada antarabangsa. Islam tanpa perancangan akan memundurkan negara. Negara ini dibina atas pengorbanan pelbagai bangsa. Membina satu usaha yang sukar. Memusnahkan hanya perlu satu hari.
Keempat kepada ahli Umno, marah biarlah berpada. Menang jadi arang, kalah jadi abu tidak wajar dijadikan konsep perjuangan. Jika berkeras, mereka bakal menjadi lebih kecil pada PRU akan datang dengan ketika ini tiada satu negeri pun diketuai parti itu.
Perlu kebijakan strategi
Ramai yang menyanggah kenyataan seperti ini. Tetapi cuba lihat sejarah tamadun Islam. Dalam sejarah peperangan empayar Othmaniah mereka bersatu dengan Kerajaan Byzantine untuk melawan musuh yang sama iaitu barbarik Mongol. Kemudian kembali berperang setelah Mongol ditumpaskan.
Inilah politik, tiada yang kekal. Atau mahu menerima gelaran ahli “neraka” dari parti PN kerana tidak bersama mereka?
Rakyat perlu dirasionalkan. Kepimpinan Pas yang dibina dari sekolah lorong sempit di Kaherah, Mesir dengan fahaman ekstremis akan menjadikan Malaysia tidak stabil bila bukan Islam berasa tidak selamat.
Jika dibiarkan gabungan PN dan BN maka kemenangan jangka pendek ini akan memusnahkan masa depan negara. Kepada penyokong PH, gabungan dengan BN boleh menjadi satu pilihan biar pun tidak pernah terfikir sebelum ini.
Namun demi keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan kemaslahatan, negara perlu diutamakan. Ubat yang pahit adalah jalan terakhir untuk memastikan negara kembali diterima di persada antarabangsa.
Penulis merupakan Pengarah Eksekutif Institut Madani