Kerajaan campuran perlu dibentuk untuk menyelamatkan negara yang sedang menghadapi krisis bekalan makanan dan ekonomi.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan baharu yang akan dibentuk perlulah mewakili semua kaum di Malaysia bagi mewujudkan kestabilan politik.
“Kita perlu membentuk kerajaan inklusif. Kami adalah blok terbesar dalam pilihan raya dan jumlah undi yang lebih tinggi daripada PN.
“Tetapi kita perlukan sokongan semua pihak. Kunci asas di sini, tidak ada kompromi isu pentadbiran yang baik dan fokus kepada isu ekonomi. Itu apabila kita setuju, kita perlu ke hadapan. Kita perlu selamatkan negara,” katanya dalam sidang media di hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur pagi tadi.
Mengenai isu Akuan Berkanun (SD) yang didakwa telah dibuat oleh sejumlah Ahli Parlimen parti tertentu untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong oleh PN, Anwar menjelaskan hal berkenaan tidak boleh dianggap sah kerana BN, rakan berunding PH bersetuju membuat keputusan secara satu blok dan bukan bersendirian.
“Saudara juga telah meneliti kenyataan BN bahawa mereka akan membuat keputusan secara en block dan semua tandatangan yang dibuat sebelum itu terbatal.
“Dengan itu ia meletakkan kemungkinan kita menubuhkan kerajaan dengan majoriti yang lebih besar daripada yang kita jangka,” katanya.
Mengulas pertanyaan media mengenai perkembangan kerajaan PH – BN Perak yang akan dibentuk pada petang ini, Anwar berkata hal itu membuktikan kedua dua gabungan boleh bekerjasama.
“Saya menyambut positif perkembangan di Perak dan menunjukkan BN – PH mampu bergabung bentuk kerajaan negeri. Itu permulaan yang baik,” katanya lagi