Majlis perundingan membentuk Kerajaan Persekutuan gagal pada petang semalam di hadapan Yang di-Pertuan Agong memperlihatkan kepada rakyat sikap sebenar Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, tidak wajar seorang ahli politik berpengalaman luas bersikap keras di hadapan Agong yang mengesyorkan dibentuk kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan PN semalam.
“Kita lihat (dalam hal ini) PH lebih bertanggiungajawab. Datuk Seri Anwar tahu, Rafizi tahu, pemimpin DAP tahu dalam pilihan raya kita berhadapan dengan saingan utama BN, tetapi selepas pilihan raya bukan kepentingan diri (yang perlu diutamakan). Tetapi kepentingan rakyat, kerajaan mesti dibentuk segera.
“PH dipimpin Anwar dalam gabungan PH misalnya bersedia mengulurkan tangan ajak BN untuk kita selamatkan rakyat
“Anwar juga semalam, menghayati harapan Yang di-Pertuan Agong (untuk kerajaan perpaduan). Kalau menolak begitu sahaja nasihat Agong nampak sombong dan angkuh. Kepentingan siapa yang nak dilihat? PN bukan yang terbesar. Jadi berlapik lapiklah bercakap sikit (di hadapan Agong). Bagi ruang. Katanya PN ini menghormati institusi di raja dan sebagainya.
“Mungkin cadangan Agong (kerajaan perpaduan), mungkin pandangan raja yang lain juga. Saya lihat pemimpin angkuh (tolak mentah mentah cadangan Agong) seperti ini tidak patut diberi ruang memimpin negara yang inklusif,” katanya.
Bagi Hassan, Yang di-Pertuan Agong telah mengambil tanggungjawab yang melebihi apa yang sepatutnya dilakukan oleh raja berpelembagaan dalam situasi politik ketika ini
Katanya, seharusnya hal berunding untuk membentuk kerajaan campuran diselesaikan dalam kalangan parti parti politik. Tetapi sikap parti politik yang kurang mengutamakan rakyat berbilang kaum menyebabkan Agong terpaksa campurtangan dalam memberikan syor.
“Agong kita kena hormat baginda. Sebenarnya agong tak perlu mengemukakan apa apa syor dan cadangan. Dia dalam keadaan biasa orang politiklah yang memahami perkara ini, dan dipandu Perlembagaan dan undang undang (membentuk kerajaan). Agong hanya melaksanakan tugas dia, sekiranya wujud soal majoriti mudah dicapai dan sebagainya (menentukan PM)
“Ini keadaan luar biasa (PRU 15) dan Agong membiarkan ruang kepada orang politik untuk mengemukakan siapa yang ada nombor dan jumlah tetapi berlaku 3 blok dan tidak jelas
“BN ada masalah sekejap sokong sini, sekejap tarik brek, sekejap neutral. Begitu juga Sarawak mula mula sokong PN, kemudian nak serah pada Agong. Sebenarnya beban ini orang politik perlu cari muafakat sesama mereka, tidak perlu nak susahkan Agong,” katanya.
Justeru itu, beliau menasihatkan sama ada PN atau BN perlu lebih mengutamakan rakyat yang menghadapi kesukaran ekonomi daripada politik kepartian.
Katanya, kerajaan perlu dibentuk segera agar keyakinan pelabur dan antarabangsa tidak merudum terhadap Malaysia.