Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad untuk menyelesaikan masalah bebanan kos sara hidup rakyat dalam masa yang singkat.
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat pelbagai agensi dan kementerian pagi tadi telah memberi notis selama 2 minggu kepada kementerian untuk menyusun strategi subsidi bersasar dan penurunan harga.
“Saya tidak ada masalah subsidi bagi rakyat tetapi subsidi ini harus bersasar
“Jika tidak, seperti harga minyak, subsidi dimanfatkan oleh golongan kaya. Jadi saya beri mereka tempoh 2 minggu untuk cerakin, menelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta.
“Supaya mereka faham subsidi tujuannya untuk ringankan beban rakyat miskin. Golongan kaya atau industri tidak harus memanfaatkannya. Tetapi dia ada kepentingan lain yang kita akan sediakan. Insentif untuk syarikat akan diperbaiki supaya tidak menjadi beban kepada mereka,” katanya semalam.
Anwar memberi contoh subsidi tarif elektrik yang manfaat golongan miskin tetapi hampir sama dengan golongan kaya jumlahnya RM2.5 bilion.
Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak industri yang telah mencukupkan bekalan telur ayam di pasaran dalam tempoh beberapa hari ini.
Katanya, keadaan akan bertambah baik jika Menteri dilantik dan strategi boleh diatur dengan lebih berkesan.
“Saya ucapn terima kasih kerana industri telah menyediakan telur ayam mencukupi di pasaran. Saya menekankan supaya kos dapat dikawal dan ini termasuk langkah kementerian melalui FAMA, harga pengeluaran itu tidak terlalu rendah ketimbang di pasaran.
“Saya beri notis dalam 2 minggu. Selesai pembentukan kabinet, kita dapat meneliti keseluruhan dasar ini. Kementerian yang ditugaskan untuk menyediakan kertas akan berbincang dengan semua, perbendaharaan, Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi dan sektor swasta sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri dan saya,” katanya.
Selain itu, Anwar juga menghargai kesanggupan ketua ketua perkhidmatan awam yang hadir ke mesyuarat biar pun dilakukan pada hari cuti dan mungkin terpaksa mengorbankan komitmen bersama keluarga.
“Saya maklum kepada Ketua Setiausaha Negara adalah perlu mesyuarat segera. Dan hanya pegawai pegawai yang tidak ganggu cuti dia, dan tanggungjawab keluarga dia.
“Ini (kehadiran) permulaan yang membanggakan saya kerana semua kementerian, Ketua Pengarah, KSU, Gabenor Bank Negara hadir walau pun pagi Ahad.
“Kertas (laporan) dibentangkan termasuk Kementerian Kewangan, pertanian, industri, perdagangan dalam negeri dan ehwal pengguna, tenaga dan sumber asli juga Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya lagi.