Tiga hari selepas Perdana Menteri (PM) ke 10 Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan, keganjilan berlaku apabila telur ayam memenuhi pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu melahirkan kehairanannya mengungkapkan fenomena tersebut dalam majlis kenduri kesyukuran kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Kota Raja malam tadi.
“PM kita angkat sumpah, saya pun hairan. Lepas angkat sumpah telur ayam terus ada di mana mana. Kenapa sebelum ini tak ada telur? Saya pun tak tahu,” katanya disambut gelak ketawa hadirin.
Namun, katanya, selain bekalan telur ayam yang telah pulih, kenikmatan segera yang dapat dirasai oleh rakyat adalah harga saham terus naik dan nilai matawang ringgit mengukuh.
“Saham naik mendadak, mata wang kita terus naik banding dengan dollar.
“Kalau Mahiaddin Yassin angkat sumpah PM, kita tak tahu berapa orang pemimpin luar ucap tahniah, kita tak dengar. Kali ini Anwar angkat sumpah, berasap telefon.
“Jokowi telefon, sekejap lagi Singapura, sekejap lagi Brunei, kemudian Turki, Iran, India. Bertalu talu mengucap tahniah kerana kita menang melalui pilihan raya, bukan kerajaan pintu belakang,” katanya.
Oleh itu, kata Mat Sabu, rakyat perlu faham keperluan kerajaan hari ini mengambil pendekatan yang sesuai dengan disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong iaitu membentuk kerajaan perpaduan biar pun bersama Umno BN, GPS dan GRS.
“Kerana kita tak mahu golongan ekstremis mengambil alih pemerintahan Malaysia maka kita bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mahu kepada kita dan menerima Datuk Seri Anwar sebagai PM Malaysia.
“Kita lihat rakan kita kalah di Kuala Langat sebab berjaya dimainkan isu perkauman di situ. Begitulah juga kita berterima kasih di Sungai Buloh walau lawan bekas Menteri tetapi penduduk di situ tetap memilih calon PH walaupun dia India.
“Ini adalah satu suasana yang baik di Selangor,” katanya lagi.