Sikap pemimpin pembangkang yang mempersoal kerajaan mengarahkan konglomerat Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang mengendalikan Bernas memberi bantuan kepada pesawah padi menghairankan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap dalam sidang media di Kementerian Kewangan hari ini, Anwar membidas pembangkang yang sengaja memesongkan isu Syed Mokhtar akan membantu pesawah padi dengan naratif kononnya Kerajaan Perpaduan cuba memecahkan empayar perniagaan orang Melayu.
“Bila kita bincang, saya bincang dengan baik dengan Tan Sri Syed Mokhtar
“Syed Mokhtar setuju (membantu pesawah), tertakluk kepada rundingan nanti. Sebelum ada rundingan saya kata syarikat Bernas ada keuntungan, ditunggangi orang politik termasuk yang saya sebut semalam.
“Dia kata biarlah dia dapat bayar balik kos dia (beli dua syarikat dari pemimpin politik) dan kemudian pegawai kementerian boleh berunding dengan dia. Tetapi sementara itu tolonglah tengok nasib pesawah.
“Ini sikap pemimpin (PN mengelirukan keadaan), bercakap soal Melayu berdegar degar tetapi kita kata nak pulangkan sedikit kepada pesawah padi, dia nak pulangkan juga kepada tokey besar.
“Syed Mokhtar setuju dengan saya. Bulan Disember ini RM10 juta (bantuan), tahun depan RM50 juta dan berunding dengan Kementerian Kewangan bahawa Bernas beri keselesaan kepada pesawah padi yang miskin. Apa yang jadi masalah sangat?” tanya Anwar.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Malaysia itu memberi jaminan beliau tidak akan merobohkan empayar perniagaan Syed Mokhtar. Hal itu menjawab serangan tentera siber PN yang mempersoalkan mengapakah perniagaan konglomerat Cina tidak diusik, hanya tauke Melayu yang ditekan.
Kata Anwar, kerajaan akan juga mencari jalan membantu perniagaan Syed Mokhtar yang lain sekiranya memerlukan bantuan yang bersesuaian.
“Saya tidak ambil keputusan bukan nak roboh empayar dia. Buatlah keuntungan. Pelabuhan di Tanjung Pelepas, saya akan arahkan Kementerian Pengangkutan bantu supaya dapat diperbaiki, ditambah. Tetapi bila ada perniagaan yang melibatkan rakyat miskin. Sawah padi melibatkan orang Melayu yang paling miskin. Cari jalan bagaimana boleh dilakukan (bantuan)
“Jeritlah sekuat mana pun Melayu dan Islam, tetapi nasib orang Melayu miskin tidak terbela tidak ada makna bagi saya,” kata Anwar lagi.