Mendepani ledakan media sosial yang amat mempengaruhi kehidupan anak muda hari ini, rakyat bertanya perlukah kerajaan melakukan program tertentu untuk menetapkan jati diri mereka agar tidak terpesong.
Bagi Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim pembinaan jati diri, malah sikap politik seseorang dimulai daripada pendidikan di dalam keluarga dan pengaruh persekitaran ke atas seseorang sama ada positif atau negatif.
“Pemikiran positif orang muda dibentuk oleh keluarga. Banyak mana sangat yang boleh dibuat oleh orang yang bukan dari sekitar diri seseorang. Kita ini sebahagian dari persekitaran.
“Yang utama institusi keluarga, kejiranan dan yang paling jauh boleh pergi mungkin sekolah.
“Kalau pergi ke masjid dan surau ada sedikit lagi,” katanya dalam Majlis Peluncuran Buku “Wilayah Matrikulasi” dan Buku “Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda”, anjuran ABIM pagi tadi.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia itu, beliau sendiri mula berjuang dalam politik akibat keluarga yang cenderung ke arah berkenaan.
Beliau mengimbau arwah ayahnya yang membawanya ke himpunan Reformasi sejak darjah tiga dan dari situlah beliau membina sikap politik.
“Saya progresif bukan kerana pembacaan zaman sekolah atau universiti. Didikan saya begitu, kejiranan saya begitu,” katanya.
Beliau membawa contoh mengenai sikap perkauman dalam kalangan masyarakat juga dibina dari lingkungan orang terdekat. katanya, dalam parti politik yang matang seperti KEADILAN misalnya masih ada yang berkata tentang kaum dan hal itu bukan disebabkan sosial media tetapi lebih kepada sikap dalaman.
Oleh itu katanya, pendidikan yang betul juga amat penting dalam proses mengubah jati diri menjadi lebih rasional dan logik mendepani arus semasa
Mengulas sokongan anak muda yang terlalu banyak memihak kepada PN, terutama di sebelah Utara dan Timur Semenanjung, Adam lebih suka membawa rakyat melihat persekitaran pengundi PN itu terlebih dahulu.
“Orang cakap PN jadi pilihan orang muda dan sebagainya. Bagi saya tengok keluarganya, mereka duduk di mana? Surau mana mereka pergi, sekolah jenis apa dia belajar?
“Di sini kita kena tanya diri kita dulu, bagaimana dibentuk pemikiran positif itu,” katanya lagi.