Dasar yang diamalkan oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini berupa arahan dari atas ke bawah akan dirombak.
Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, hal berkenaan telah diutarakan beliau dalam pertemuan dengan agensi agensi pendidikan negara.
Hal itu, katanya telah dimaklumkan semasa sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan bagi menekuni status dan tahap kemajuan semasa Bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), serta kementerian secara keseluruhan.
Oleh yang demikian, kata Fadhlina, Kementerian akan sentiasa menghargai pandangan para guru selepas ini.
“Gabungan pendekatan atas-ke-bawah (top-down) dan bawah-ke-atas (bottom-up) ini memberikan input dan akan menjadi pendekatan utama dalam mentadbir kementerian berlandaskan semangat dan roh yang terkandung dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Berdasarkan sesi interaksi awal yang berlangsung dalam minggu ini, saya cukup yakin dengan kemampuan, bakat dan kesungguhan jentera KPM yang melaksana dan menggubal dasar-dasar kementerian dan akan bersama-sama saya memikul amanah dalam melakar era baharu sektor pendidikan negara,” katanya.
Selain bertemu guru, Fadhlina berkata beliau juga telah meluangkan masa dengan pengetua serta guru besar (PGB) di sekolah dan para guru yang disifatkannya sebagai barisan hadapan negara dalam menjayakan misi membina legasi pendidikan manusiawi.