Fenomena TikTok berunsur fitnah telah menjadi trend dan kegemaran anak muda Melayu sejak kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu sehingga kini.
Terbaharu, trend tersebut masih berleluasa dalam kempen Pilihan Raya Kecil Padang Serai yang ditunggangi oleh pemimpin PN.
Bagi Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Johari Abdul, penggunaan medium TikTok yang dibalut fitnah amat tidak menguntungkan generasi muda, apatah lagi apabila mereka mempercayai fitnah sebagai perkara yang betul.
Katanya, anak muda hanya akan menjadi golongan ekstrem dan tidak rasional sekiranya budaya tersebut diteruskan.
“Kita tak boleh marah anak muda sebab TikTok ini benda yang sedap. TikTok free. Tiga perkara yang sedap dalam dunia, pertama mengata (mengumpat) orang, kedua makan free, ketiga hutang tak bayar. Mengata orang (di TikTok) memang sedap.
“Saya sendiri pun pagi pagi selain tengok WhastApp saya buka TikTok. Kadang kadang habis setengah jam. Itu saya orang dah berumur. Bayangkan budak budak tak ada kerja. Dia tengok TikTok. Dan mungkin peringkat awal dia tak percaya tetapi kalau seperti Goebbels, menteri propaganda Hitler kata ‘kalau hari hari dihidangkan fitnah akhirnya orang percaya’
“Orang yang melakukan fitnah itu pun boleh percaya fitnah (yang dia reka) sebagai betul. Ini adalah perancangan yang saya rasa, secara sedar tak sedar sedang menjalar dalam masyarakat kita dan akan membunuh masyarakat kita,” katanya kepada Suara Keadilan.
Oleh itu, Johari menasihatkan ahli politik yang telah pun melepasi usia matang dan menjadi pemimpin agar jangan mengambil kesempatan menunggang fenomena TikTok.
Katanya, tidak ada guna mendapat kuasa dan anak muda menyokong mereka membabi buta tetapi rakyat mundur, malah bangsa luar memandang serong ke atas rakyat negara ini.
“Jadi kalau orang pandang rendah pada bangsa kita jangan ‘melompat’. Sebab kita yang menjatuhkan martabat kita sendiri.
“Cuma kepada anak muda jangan marah mereka. Marah orang tua yang mengambil kesempatan terhadap fenomena baru ini menghancurkan bangsa kita.
“Atas nama apa pun nasionalisme ke, Islam ke, apa benda pun, fitnah ini memang Nabi dah pesan lebih parah daripada membunuh,” katanya.
Fitnah di media sosial masih berleluasa dan ketika ini pelbagai poster disebarkan semua medium kononnya Perdana Menteri dan Menteri mengumumkan berbelas belas hal yang tidak masuk akal bagi menimbulkan kebencian rakyat Malaysia ke atas kerajaan.
Hal itu mengingatkan strategi bumi hangus yang digunakan Pas ketika ingin menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 lalu namun setelah mereka berkuasa semua isu yang diapi apikan itu tidak diselesaikan sehingga PRU 15 mengambil tempat.