Pentadbiran Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur terhadap tatakelola dan akan terus melawan korupsi.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, korupsi sekiranya berlaku dalam kerajaan pentadbiran beliau maka pelakunya akan dipecat serta merta.
“Saya tidak tolak ansur tatakelola yang baik, tiada korupsi. Kalau ada semasa pentadbiran saya, maka saya akan pecat serta merta,” katanya dalam syarahan di Program Pertemuan Mahabbah YAB PM bersama Ulama dan Asatizah.
Beliau membawakan contoh pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz dari bani Umayyah yang disanjungi dunia Islam sebagai pemimpin terbaik selepas pemerintahan khulafa ar rasyidin.
Katanya, pentabdiran Khalifah Umar terkenal kerana pemerintahannya yang mengutamakan tadbir yang baik
Justeru, Anwar menolak misalnya projek tebatan banjir yang dibuat bersegera untuk keperluan rakyat tetapi ditender secara meragukan dan diberi kepada syarikat bermasalah.
“Ada projek sedang diteliti, tangguhkan. Bukan maksud untuk cerca mana mana tokoh politik. Projek tebatan banjir, kerana banjir itu menyiksa rakyat dan menjadi mangsa itu banyaknya orang miskin maka sebab itu bila kita nak belanja kena teliti.
“Ini dinamakan tadbir urus, ini dilakukan Umar Abdul Aziz. Mengurus negara harus dengan ketertiban peraturan negara yang betul. Bila saya lihat diluluskan dengan spontan, syarikat dipertikai, saya minta diteliti semula, jadi esok saya ke Kementerian Kewangan, saya akan kaji.
“Projek itu diluluskan, belum dilaksana kerana pilihan raya. Ini sebagai contoh. Tak perlu jadi hal politik,” katanya.
Beliau juga menyinggung isu Bernas yang telah lama menjadi masalah berhubung usaha monopoli oleh sebuah syarikat melayu.
Usaha yang dilakukannya meminta sedikit keuntungan yang diperoleh oleh konglomerat Syed Mokhtar al Bukhary didermakan kepada pesawah miskin sebanyak RM10 juta tidak wajar menjadi polemik politik.
“Soal Bernas. Soal ini sudah lama, bukan baru. Ada kata saya luluskan semasa Menteri Kewangan, penswastaan itu di bawah Unit Perancang Ekonomi Perdana Menteri (Tun Mahathir pada 1990an). Tender di bawah Menteri Kewangan. Geng yang bebal ini mereka tak peduli fakta.
“Saya faham monopoli beras ini, saya telefon Syed Mokhtar. Dia berjaya dalam banyak bidang, tetapi saya kata janganlah bidang yang menyebabkan keuntungan tinggi diambil dari pesawah padi yang paling miskin. Majoriti kalangan Melayu miskin itu pesawah padi.
“Saya ada mandat guna kuasa dan kebijaksanaan (Menteri Kewangan). Saya tahu belum teliti, Kementerian Kewangan belum menelusuri, saya kata boleh tak beri segera sebab orang miskin tidak boleh tunggu jawatankuasa.
“Syed Mokhtar ambil sikap positif. Saya kata pada dia, saya tak mahu saudara rugi. Saya hanya mahu sebahagian keuntungan itu diberi kepada orang miskin pesawah padi,” katanya.
Justeru, Anwar bertekad keseimbangan sosial akan diwujudkan dalam pentadbirannya sehingga semua kaum yang lemah akan terbela sesuai dengan ajaran Islam.