Undi anak muda di Semenanjung Malaysia dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu memberi cabaran baharu kepada Kerajaan Perpaduan untuk mengawal polarisasi kaum berasaskan politik kepartian.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Lee Chean Chung, amat jelas pola pengundian memperlihatkan anak muda Melayu cenderung untuk mengundi PN dan bukan Melayu memberi undi kepada Pakatan Harapan (PH).
Hal itu katanya amat tidak sihat kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini yang bukan sahaja terpisah akibat ekonomi tetapi juga sokongan politik.
“Saya nampak ada perbezaan dan agak berpolarisasi. Maka ini satu cabaran baru kepada kabinet (Kerajaan Perpaduan) untuk memulihkan keyakinan dan cuba seimbangkan persepsi serta pandangan orang muda.
“Bukan Melayu di Semenanjung kebanyakannya cenderung kepada PH. Melayu pula kebanyakannya cenderung kepada PN, jadi ini satu trend yang perlu diberikan perhatian,” katanya kepada Suara Keadilan.
Ahli Parlimen Petaling jaya itu jelas khuatir kepada cara berkempen PN dalam menarik pengundi muda secara kurang etika dan memainkan isu perkauman.
Katanya, PH tidak menggunakan cara kempen seperti itu dan lebih kepada tawaran serta dasar yang tidak terlalu menarik minat anak muda berbanding generasi yang lebih dewasa.
“(Kemenangan PN kerana) sentimen. Sebenarnya sokongan kepada PH adalah tindakbalas negatif daripada sentimen yang diwujudkan oleh PN. PN mainkan sentimen dan berjaya mengalihkan sokongan daripada pengundi muda Melayu.
“Mereka lari kepada PN, dan PH memang selama ini tidak mainkan sentimen. Kita kempen lebih kepada dasar, kepada tawaran, mencipta peluang pekerjaan, ekonomi dan sebagainya,” ujar Chean Chung.
Mengulas lanjut mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal dihadapi PH dalam tempoh beberapa bulan lagi, Chean Chung berkata kerajaan pusat perlu segera mengimplimentasikan dasar dasar yang memberi lebih kefahaman politik kepada generasi muda atau dasar ekonomi yang memberi harapan kepada mereka.
Sekiranya gagal, menurut beliau, maka trend yang sama mungkin berulang di 6 negeri yang akan menganjurkan PRN.
“Mencabar kalau kita tidak menunjukkan prestasi maka tidak ada perubahan (tahap sokongan) atau pun mungkin lebih teruk.
“Ini amaran kepada pimpinan supaya bersiap sedia,” katanya lagi.