Rakyat mahukan masalah kehidupan mereka segera ditangani oleh Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk.
Malah kestabilan kerajaan juga bergantung kepada seberapa cekap kerajaan menangani isu isu berkenaan.
Hal tersebut ditegaskan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil dalam temubual khas RTM, malam tadi.
“Saya rasa rakyat bukan nak tengok retorik tetapi hasil. Sebab itu saya buat pertama kali hadir dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Sara Hidup Negara pagi tadi, meneliti 3 – 4 perkata penting. Kita putuskan dalam mesyuarat kabinet, kita lihat masalah rakyat itu berlegar sekitar isu ekonomi, harga barang.
“Masa saya hadir kali pertama 2 minggu lalu itulah yang disebut, masalah harga minyak masak, telur dan ayam. Saya lihat rakyat memang mahu lihat tindakan.
“Rata rata mesyuarat jemaah menteri yang ditugaskan mereka fokus. Mereka mengambil masa menunggu bekalan (produk) tiba atau mengambil kelulusan Jemaah Menteri. Ada prosesnya. Bukan sekelip mata masalah selesai.
“Di sini saya lihat antara tugas saya adalah untuk membatu memberi sedikit pemahaman (melalui media masa),” katanya.
Mengenai proses berkerajaan, katanya, rakyat Malaysia semakin matang sejak tumbangnya kerajaan BN pada 2018 lalu.
Rakyat juga katanya ‘bersabar’ apabila Kerajaan Negeri dan Persekutuan bertukar tangan beberapa kali sepanjang tempoh 2020 – 2022.
Cuma Fahmi berharap pertukaran kerajaan kali ini dihadapi secara profesional oleh perkhidmatan awam dan rakyat biasa.
“Kalau kita tengok di sesetengah negara yang lain seperti United Kingdom (UK) yang sistem parlimennya hampir sama, di UK ada White Hall, kalau di sini kita panggil Putrajaya. Di situ fungsi dan peranan penjawat awam adalah untuk melaksanakan. Tetapi tidak ada elemen memihak kepada mana mana parti
“Saya lihat Malaysia dalam 10 tahun yang kita tempuh ini, mungkin 2012 hingga sekarang dan 10 tahun akan datang, kita alami perubahan yang agak mendasar, di mana di peringkat negeri kita tengok hal itu di Perak, Kedah, kerajaan silih berganti, sehingga di peringkat Persekutuan pun PM datang dan pergi
“Ini adalah satu peringatan bahawa rakyat Malaysia suka keadaan aman damai, kita saksikan pelbagai perubahan dalam 4 tahun ini. Setiap kali berlaku perubahan itu rakyat menerima dan tidak berlaku sesuatu yang buruk,” katanya.
Fahmi juga menjelaskan konsep Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya tidak mempunyai pembangkang. Namun hal itu, katanya tidak berlaku kerana PN menolak untuk menyertainya selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan.
“Kerajaan Perpaduan ini asasnya konsep tidak meninggalkan mana mana parti politik, mengakibatkan di parlimen tidak ada pembangkang, biar pun niat itu tidak tercapai namun hasrat untuk menyatupadukan rakyat itulah yang menamakan kerajaan ini sebagai Kerajaan Perpaduan.
“(Cuma saya harap) parlimen dijadikan tempat menangkat hujah, meneliti dasar dan melalui proses semak imbang dari pembangkang,” katanya lagi.