Isu istilah Kerajaan Perpaduan terus dimainkan pihak pembangkang biar pun mereka enggan menyertainya.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, idea kerajaan perpaduan sebenarnya diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan bermatlamat untuk menghimpunkan sebanyak mungkin pemimpin dalam mentadbir negara bagi meredakan pertentangan politik yang tajam.
Biar pun, katanya, tidak berjaya sebagaimana konsep yang pernah diwujudkan di United Kingdom sewaktu Perang Dunia Kedua dahulu, di mana semua parti sama ada Buruh, Konvervatif dan sebagainya bergabung membentuk kerajaan tanpa pembangkang namun kerajaan yang ditadbir PM Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menyatukan 2/3 daripada ahli Parlimen.
“Idea (asal) kerajaan perpaduan ini sedikit berbeza dengan Kerajaan Perpaduan yang kita ada sekarang.
“Apakah Kerajaan Perpaduan itu? Untuk satu padukan rakyat. Pasca PRU 15 sangat perit dan penuh bibit hitam. Kita move on, kita bergerak ke depan dan kita rapatkan saf.
“Jadi penting kita tahu maksud Kerajaan Perpaduan, kerajaan ini adalah projek membina negara. Yang boleh menyatukan seramai mungkin pimpinan, sebab masalah kita besar. Misalnya kerajaan putuskan tarif elektrik tidak naik. Ia kelihatan seperti bukan isu besar, tetapi bila Perdana Menteri sebut jangan bebankan rakyat, kerajaan tanggung (kos kenaikan), ia jumlah yang besar,” katanya dalam majlis bersama pengamal media sosial di Subang, malam tadi.
Katanya, Kerajaan Perpaduan hanya akan mengutamakan isu isu rakyat dan pembangunan negara, bukannya politik
Oleh itu jelas Fahmi, arahan utama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua menteri ketika ini adalah mencari jalan mengurangkan kos hidup rakyat.
“Sebab itu saya sebut, saya akan berusaha untuk kurangkan tarif (bayaran) komunikasi. Kalau kita tak dapat semua, kita buat sebahagian. Beri kepada kumpulan yang paling memerlukan.
“Sebab dapatan menunjukkan bahawa 17% anak muda umur 18 – 40 tahun nak isu internet dan ketersambungan diselesaikan. 66% usia 18 – 40 tahun nak isu kos sara hidup ditangani segera. Jadi kita semua ada peranan, mainkan peranan,” katanya lagi.