Perjanjian permuafakatan antara parti politik dalam koalisi Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani semalam akan menutup ruang kemungkinan berlakunya sekali lagi Langkah Sheraton atau sebarang langkah songsang politik pada masa hadapan.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Ahmad Fahmi Fadzil berkata, perjanjian yang dimeterai itu perlu dilihat bersekali dengan kewujudan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
“InshaAllah tidak lagi (khianat politik) sebab kita kena baca dua perkara bersekali iaitu satu dokumen yang ditandatangani hari ini bersekali dengan apa yang kita usahakan iaitu pindaan kepada Perlembagaan melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” katanya dipetik.
Semalam lima gabungan parti politik utama negara PH, BN, GPS, Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan telah menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan bagi membentuk Kerajaan yang stabil.
Fahmi ketika mengulas perjanjian permuafakatan itu juga berkata hubungan baik dan akrab antara kepimpinan tertinggi lima gabungan parti politik itu adalah isyarat jelas Kerajaan Perpaduan akan sentiasa dalam keadaan baik.
“Ini isyarat jelas, fokus kita selesaikan masalah rakyat dan hubungan erat itu akan menjamin satu kestabilan untuk membantu memacu ekonomi negara demi kemakmuran bersama,” katanya lagi.
Dokumen itu mengandungi 18 perkara yang dipersetujui bersama:
- Parti-parti menzahirkan kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, dan akan bersama-sama memelihara, melindungi, dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
- Mempertahankan sistem Raja Berpelembagaan, memperkukuhkan Demokrasi Berparlimen, dan memantapkan sistem politik negara sesuai dengan kehendak serta kepentingan rakyat.
- Memelihara Islam sebagai Agama Persekutuan, memastikan hak bukan Islam untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.
- Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, serta menjamin hak rakyat untuk mempelajari dan mengguna bahasa lain berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
- Menegakkan keluhuran dan kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman dan institusi awam, serta keberkesanan dan profesionalisme pasukan keselamatan.
- Memperkuat dan mengupaya pemisahan kuasa antara cabang eksekutif, perundangan, dan kehakiman Kerajaan Persekutuan.
- Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dalam acuan Malaysia.
- Mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negerinegeri dengan kekuasaan kerajaan Pusat.
- Menjunjung semangat kerjasama, kesetiaan kepada persekutuan dan perkongsian kuasa secara adil di antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka Perjanjian Malaysia tahun 1963, Laporan IGC dan Suratcara.
- Mengamalkan ekonomi yang adil dan dinamik.
- Memastikan pembelaan ekonomi yang adil berasaskan keperluan kepada setiap rakyat yang miskin dan terbiar tanpa mengira latar belakang, kaum dan wilayah.
- Menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan awam yang bermutu sebagai tanggungjawab sosial pemerintah.
- Memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upah yang adil dan setara dengan kelayakan dan pengalaman pekerja.
- Mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat.
- Memperjuangkan hak dan pengembangan potensi belia dan remaja.
- Meningkatkan mutu hidup Orang Asal, di samping menjaga warisan adat mereka.
- Melindungi alam semula jadi daripada pemusnahan, perubahan iklim; mencegah perosakan.
- Mengembangkan dasar dan hubungan luar yang berkecuali, bebas dan aktif.