Keputusan Kerajaan Perpaduan untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada pengguna domestik dan industri kecil dan sederhana (IKS) dilihat amat bertepatan berdasarkan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.
Menurut Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse, keputusan itu amat baik terutamanya kepada IKS yang sebelum ini tidak dihiraukan sangat oleh kerjaan.
“Saya menyambut baik keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan kerajaan terdahulu untuk menaikan tarif elektrik tidak akan diteruskan.
“Justeru, kerajaan sekarang tidak akan menaikkan tarif elektrik ke atas pengguna domestik dan syarikat industri kecil sederhana (IKS), syarikat berasaskan pertanian serta pengeluar makanan walaupun terpaksa menanggung implikasi kewangan yang sangat besar berjumlah hampir RM30 bilion setahun.
“Inisiatif ini menunjukkan kerajaan baru sangat prihatin terhadap nasib rakyat biasa yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi dan juga peka terhadap proses pemulihan IKS pasca pandemik Covid-19.
“Ia juga selari dengan pendirian saya selama ini di mana IKS layak mendapat pembelaan sewajarnya memandangkan mereka adalah nadi serta tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu menurut Jimmy Puah lagi, keutusan mengkaji tarif elektrik bagi syarikat multinasional adalah bertepatan dengan keadaan semasa, yang mana tarif elektrik bagi sektor itu di negara Asia Tenggara lain lebih tinggi dan mereka mampu menanggungnya.
“Saya juga memahami rasional keperluan kerajaan membuat semakan ke atas tarif elektrik bagi kategori syarikat gergasi multinasional yang membuat keuntungan berbilion Ringgit, kerana jika dibandingkan dengan tarif elektrik negara-negara ASEAN yang lain seperti Singapura, Thailand dan Filipina, tarif elektrik di Malaysia masih lagi pada kadar yang munasabah dan kompetitif.
“Contohnya untuk industri berat, tarif yang dikenakan di Malaysia adalah hampir AS$ 7.76 per kwh (Kilowatt sejam) manakala di Singapura kadar tarif adalah AS$12.72 per kwh, Thailand AS$8.36 per kwh dan Filipina AS$11.63 per kwh. Maka saya yakin keputusan kabinet menyemak semula tarif elektrik bagi kategori ini tidak akan menjejaskan kemasukan pelabur ke Malaysia,” katanya lagi.
Pemimpin kanan KEADILAN Johor itu juga yakin rakyat bawahan akan sangat gembira dan berterima kasih dengan keputusan PM Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan baru baru ini.