Undi Percaya amat penting untuk meyakinkan pelabur asing kembali menanam modal di Malaysia.
Hal itu dibangkitkan dalam ucapan perbahasan Datuk Johari Ghani (BN – Titiwangsa) menyokong Undi Percaya ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat sesi petang.
Katanya, dengan melaksanakan Undi Percaya ianya akan mewujudkan kerajaan yang stabil untuk 5 tahun akan datang dan peristiwa menukar kerajaan sebanyak 3 kali dalam 4 setengah tahun sebagaimana pada 2018 – 2022 tidak akan berlaku.
“Penting Undi Percaya dalam konteks kita bangunkan negara. Sudah tentu mana mana negara yang nak dibangunkan (keutamaan) ialah kestabilan politik.
“Kalau kita lihat kestabilan politik ini adalah ramuan sangat penting mana mana negara untuk bangunkan ekonomi,” katanya.
Johari membariskan 3 perkara yang wajib diutamakan untuk penggal politik selama 5 tahun akan datang bagi menentukan kejayaan kerajaan memerintah negara.
“Tiga perkara sangat penting untuk kestabilan politik, iaitu pertama dalam penggal 5 tahun ini kita perlu ada kestabilan politik.
“Kedua kita mesti mempunyai satu pasukan yang mempunyai pengalaman dan kompeten untuk menerajui kerajaan
“Ketiga kita tidak boleh lari daripada mempunyai pasukan yang mempunyai kredibiliti dan integriti dalam menerajui negara,” katanya.
Johari juga menekankan bahawa Malaysia sudah ketinggalan sejak 4 tahun lalu di belakang negara negara ASEAN lain yang pernah didahuluinya sejak berdekad dekad.
Katanya, sejak 2018 sehingga 2021 pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar negara tubuh – 0.1% berbanding 4 negara ASEAN utama.
“Saya ambil contoh Indonesia pada 2018 – 2021 KDNK mereka berkembang 11.8%, Vietnam berkembang 24%, Thailand 9.7%, Filipina 19%. Semua positif tetapi Malaysia tidak.
“Kita kena melihat semula cara berpolitik. Kalau kita berterusan soal PM (silih berganti), soal isu yang tidak melihat isu rakyat maka akhirnya 4 setengah tahun itu (sebelum ini) kita (hanya) membazir masa,” katanya lagi.
Justeru, beliau mengucapkan syabas kepada keberanian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan Undi Percaya biar pun pada kebiasaannya tidak diperlukan kerana telah pun dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.