Tindakan kerajaan Afghanistan di bawah puak Taliban yang mengharamkan wanita negara itu melanjutkan pengajian ke universiti dikecam masyarakat antarabangsa.
Bagi Ketua Wanita KEADILAN Malaysia, Fadhlina Sidek, keputusan kerajaan Afghanistan berkenaan hanya akan menambah kemunduran wanita di negara tersebut.
Katanya, hak untuk mendapatkan pendidikan tinggi untuk wanita tidak seharusnya ditindas.
“Sekatan ini (Taliban) telah menghalang wanita Afghanistan daripada mendapat akses pendidikan tinggi dan akan melebarkan jurang daya saing antara gender dari sudut peluang pekerjaan berkualiti, status ekonomi dan sosial.
“Maka, dasar pendidikan yang bersifat mundur dan diskriminasi ini turut akan membawa kepada implikasi jangka masa panjang yang akhirnya akan menyebabkan kesan yang lebih buruk kepada landasan pentadbiran negara yang kononnya berasaskan Islam,” kata Fadhlina dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Malaysia berkata, dengan menghalang penglibatan wanita menyambung pendidikan maka kadar partisipasi wanita dalam tenaga kerja di negara itu akan berkurangan secara drastik.
“Ini akan menjurus kepada ruang dan peluang dominasi yang berpihak hanya kepada satu gender dan tidak mewakili suara segenap masyarakat.
“Justeru itu, saya mendesak pihak pemerintahan Taliban mempertimbangkan untuk menarik balik sekatan tersebut dan mengembalikan akses wanita Afghanistan melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya.
Puak Taliban ketika mula menguasai ibu negara Afghanistan pada pertengahan 2021 lalu berjanji untuk tidak mendiskriminasi hak pendidikan ke atas wanita.
Dengan perkembangan terbaharu ini jelas janji berkenaan telah dicabuli.