Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di Batang Kali Selangor berakhir semalam.
Sebanyak 31 mayat mangsa berjaya ditemui dengan kerjasama pelbagai agensi serta berkat doa seluruh rakyat Malaysia.
Bagi Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, penemuan mangsa terakhir seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui jam 4.53 petang, 24 Disember 2022 di sektor A adalah penutup kepada operasi yang telah memakan masa sembilan hari lamanya.
“Buat seluruh keluarga mangsa terlibat, saya ingin menyampaikan ucapan takziah dan turut berdukacita atas kehilangan ahli keluarga tersayang. Saya juga menzahirkan rasa syukur, mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh wira negara iaitu anggota yang terlibat dalam Operasi SAR,” katanya.
Shamsul menghargai jasa pasukan yang terlibat khususnya Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Mencari & Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah turun ke lokasi bencana seawal malam pertama kejadian dan mengeluarkan arahan jelas sebelum itu bagi memastikan operasi SAR berjalan lancar.
“Ini menunjukkan tekad dan keprihatian beliau bersama jentera kerajaan yang benar-benar komited dalam menjayakan usaha ini.
“Bantuan segera iaitu RM10 ribu untuk setiap mangsa yang meninggal dunia dan RM1 ribu Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa yang tidak melibatkan kematian terus diumum Perdana Menteri telah sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga yang terlibat,” katanya.
Beliau berharap apa yang berlaku menjadi iktibar untuk melakukan langkah pencegahan serta langkah penguatkuasaan undang-undang bagi mengelakkan malapetaka seperti itu berulang.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil yang turun ke tempat kejadian pada hari awal malapetaka berlaku turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan terima kasih kepada pasukan yang terlibat dalam operasi SAR.
“Salam takziah buat semua keluarga mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali.
“Setinggi-tinggi penghargaan buat semua yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat yang berakhir pada hari ini.
“Terima kasih juga buat rakan media yang bertungkus lumus menyampaikan perkembangan terkini sejak hari pertama tragedi,” katanya.