Kritikan keras yang dileparkan oleh ahli politik PN khususnya Pas terhadap kenyataan Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli agar rakyat sebagai pengguna mengurangkan makan ayam sekiranya harga terus melambung selepas kerajaan melaksanakan beberapa langkah menstabilkan harga, tidak wajar dikeluarkan.
Hal itu kerana menurut Mohd Hisyamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Sham Ghaz berkata, masalah harga barang yang diulas Rafizi pada 23 Disember lalu adalah peninggalan kerajaan yang disertai Pas.
Katanya, pemimpin Pas yang lantang seperti Ahli Parlimen (MP) Bachok, Syahir Sulaiman sepatutnya lebih bermuhasabah sebelum mengeluarkan kecaman.
“Waktu 18 MP Pas menjadi Menteri dulu, kenapa tidak diselesaikan kenaikan harga barang mendadak? Kenapa sekarang baru riuh sekampung.
“Saudara lulusan Ekonomi, saya lulusan Agribusiness, ada basic ekonomi. Tapi jika bercakap pasal ayam, telor dan pertanian tu bidang ambo (saya) lah.
“Kerajaan waktu kamu tadbir dulu tidak dapat kawal langsung kenaikan harga dedak ayam dari RM82 – RM87sebeg kepada RM135-140 sebeg masa kamu dalam Kerajaan. Malah harga anak ayam tidak letak harga syiling, naik mendadak daripada RM2.50 – RM2.80 sekor naik cecah RM3.00 – RM3.20 sekor,” katanya menjawab kecaman Syahir.
Dalam kenyataan sebelum ini Syahir memperlekehkan Kerajaan Perpaduan yang baru sebulan dibentuk dengan mempersoalkan apakah tindakan mereka terhadap monopoli, kartel dan kuota bekalan ayam juga tindakan terhadap peniaga yang menyorok bekalan.
Sedangkan kata Syam Ghaz, ketika kerajaan BN – PN memerintah alasan yang dikeluarkan waktu itu adalah kenaikan harga disebabkan perang Ukraine – Rusia dan jagung ganti kekurangan gandum dalam pasaran.
“Tapi tahun lepas (2021) waktu Pas dalam Kerajaan harga bekalan jagung sudah turun, kos transport (kapal laut) juga telah turun. Kenapa harga dedak Kerajaan gagal kawal supaya diturunkan?
“Di mana kawalan polisi, dasar dan teori elekstik yang kamu katakan perlu dikawal masa tu? Sedangkan masa kamu jadi Kerajaan pun tidak terkawal melambung inflasi kenaikan harga barang? Menteri Pertanian paling lemah masa PN
“Kerajaan dulu ambil kartel ayam jadi penasihat, harap Kerajaan sekarang janganlah ambil mereka lagi jadi penasihat bab ayam, kesian peniaga ayam bumiputera dan kecil, jika monopoli ayam tidak dikawal,” kata Syam yang sebelum ini terkenal dalam perjuangan menuntut royalti petroleum negeri Kelantan.
Sehubungan itu, pemimpin Amanah berkenaan mencadangkan agar pembangkang melihat dahulu usaha Kerajaan Perpaduan yang baru sebulan dibentuk sebelum mengkritik.
Syam juga mencadangkan agar dibentuk Lembaga Unggas yang dicadangkan ketika Pakatan Harapan sebagai pambangkang dahulu.
“Bagi kerajaan sekarang, umur baru sebulan. Biar mereka usahakan kawal sepenuhnya kartel, kawalan harga lantai dan syiling, dan reform agensi-kementerian berkaitan, terutamanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Nampaknya Lembaga Unggas yang kami cadang dulu dah kena buat untuk kawal industri ayam dari A-Z, terutamanya bab dedak, anak ayam, lesen, monopoli dan import eksport. Lembaga fokus kepada pembangunan industri ayam, dan Jabatan Veterinar fokus kepada perkhidmatan dan kesihatan,” katanya lagi.
Selain itu, Syam juga mengajak Syahir untuk berdebat lebih lanjut mengenai isu ayam sekiranya Ahli Parlimen Bachok itu berminat.