Kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara akan ditangani segera.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya sedang merangka perancangan jangka panjang untuk menyelesaikan isu tersebut yang telah berlarutan.
“Saya memandang serius masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital-hospital KKM dan amat memahami situasi yang berlaku ketika ini.
“KKM telah pun mula merangka pelan dan perancangan bagi menyelesaikan isu kesesakan ini.
“Segala pelan dan perancangan ini bukan untuk jangka masa pendek, sebaliknya ia merupakan perancangan jangka masa panjang yang selaras dengan perkara utama Kertas Putih KKM yang bertujuan untuk memperkasa dan mereformasikan perkhidmatan kesihatan di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha menghargai jasa kakitangan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital KKM di seluruh negara yang menunjukkan dedikasi yang baik biar pun menghadapi bebanan tugas amat berat.
“Saya secara peribadi mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang bertungkus lumus memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“KKM sentiasa peka dengan masalah yang berlaku dan kami akan terus mencari jalan demi kebajikan dan kesihatan mental warga KKM,” katanya lagi.