Tidak adil untuk untuk mana-mana pemimpin dari kerajaan terdahulu mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu harga barang, kata seorang penganalisis politik.
Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata begitu sebagai membidas serangan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa kerajaan perpaduan yang dibentuk sejak sebulan lalu gagal menangani kenaikan kos sara hidup.
Tambah Awang Azman, adalah terlalu awal untuk menilai kejayaan atau kegagalan pentadbiran Anwar kerana beliau belum pun melepasi tiga bulan tempoh perkhidmatan.
Malah kerajaan sebelum ini yang turut disertai beberapa pemimpin yang berada di blok pembangkang tidak mampu menyelesaikan isu kenaikan kos sara hidup rakyat walaupun berada dalam kerajaan untuk tempoh lebih setahun.
“Kerajaan sekarang mewarisi perkara-perkara kerajaan terdahulu. Mengapa mereka tidak menangani perkara ini?
“Anwar baru sebulan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. Beliau sudah mengumumkan bantuan kewangan untuk pesawah, penangguhan kenaikan tarif elektrik dan pembentukan jawatankuasa untuk mengkaji perkara ini (kos sara hidup),” katanya dipetik.
Sebagai rekod, kurang sebulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan diketuai Anwar, beberapa langkah awal telah dijalankan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Hal itu antaranya dengan melaksana penjimatan di agensi kerajaan supaya wang tersebut dapat dipulangkan kepada rakyat.
Anwar baru-baru ini turut mengumumkan untuk tidak membenarkan peningkatan tarif elektrik bagi kediaman, selain melaksana potongan cukai taksiran 30 peratus kediaman di bawah RM300,000 di Putrajaya.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu turut mengumumkan bantuan awal persekolahan RM150 kepada murid tanpa mengira pendapatan penjaga.
Menurunkan tarif gas antara 5 – 9 peratus bagi mengurangkan kos industri supaya produk pengguna lebih murah.
Kerajaan turut mengumumkan skim internet dengan harga lebih murah serta boleh dilanggan oleh belia, veteran, B40 dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Saya difahamkan bahawa menteri mempunyai sesi libat urus dengan kementerian dan pihak lain. Adalah kurang adil untuk menyalahkan Anwar dan kerajaan sekarang,” tegas Awang Azman lagi.
Sementara itu profesor pengajian Asia dari Universiti Tasmania, Dr James Chin turut memulangkan paku buah keras kepada Wan Saiful susulan dakwaanya itu.
“Masalah ini diwarisi dari kerajaan terdahulu sebelum era Anwar. Kerajaan yang ada pun masih baharu.
“Mengapa mereka tidak menanganinya ketika berkuasa?” soalnya merujuk kepada tempoh 17 bulan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri.