Walaupun pihak tentera yang menjadi pemerintah sementara di Mesir merancang sesuatu bagi menghalang calon presiden Dr. Mohamad Morsi dari parti berteraskan Islam, Ikwanul Muslimin memenangi pilihan raya presiden namun beliau tetap menang menewaskan pesaingnya dari bekas parti diktator Hosni Mubarak.
Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty menegaskan, kemenangan Dr Morsi adalah kehendah Allah yang menggagalkan konspirasi musuh-musuh Islam.
“Tipulah macam mana sekalipun, pindalah undang-undang mengikut sesuka hati kamu, fitnahlah musuh kamu dengan segala kudrat dan kuasa yang ada pada kamu, jika rakyat sudah bangkit, dengan izin Allah, tiada yang mampu menyekatnya,” katanya.
Muhammad Nur berkata, situasi di Mesir ketika ini tidak mustahil turut berlaku di Malaysia pada Pilihan Raya Umum akan datang kerana memiliki banyak persamaan.
“Jika di Mesir, saki-baki puak rejim Mubarak mahu terus memperalat undang-undang untuk mengekalkan kuasa ia berlaku dan masih berjalan di Malaysia.
“Jika di Mesir ada cubaan untuk tipu pilihanraya bagi mengekang kemenangan calon Ikhwanul Muslimin, Dr. Morsi di Malaysia tiada bezanya kerana sehingga kini pentadbiran Najib Razak enggan membersih daftar pemilih,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat melakukan perubahan pada PRU akan datang dengan membulatkan tekad menolak setiap calon Umno BN dan turut sama membantu kempen pada rakan dan keluarga untuk mengundi hanya calon Pakatan Rakyat.
“Apa yang berlaku di Mesir ini sebagai panduan pada rakyat bahawa mana-mana rejim di dunia ini pasti tumbang, kedua, ia juga iktibar pada Umno agar jangan percaya pada penipuan semata-mata untuk menang,” katanya.
Dr Morsi dalam ucapan kemenangannya semalam, meredakan ketegangan di kalangan tentera dan puak revolusi dengan berikrar tidak akan menguatkuasakan undang-undang Islam, sesuatu yang dibimbangi oleh puak anti Mubarak, Mesir akan mengamalkan Hudud sebagaimana di Arab Saudi.
Bagaimanapun, seperti janji kempennya, pemimpin rejim Mubarak dijangka akan menerima pukulan lebih hebat menghadapi kes-kes mahkamah dalam jenayah penindasan ke atas pembangkang dan pelanggaran hak asasi manusia di Mesir sejak sekian lama.