Pembangkang PN seharusnya menjadi semak imbang kepada Kerajaan Perpaduan dan mengkritik secara berfakta.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia, Lee Chean Chung berkata kritikan yang sering dilemparkan pembangkang sejak kebelakangan ini lebih banyak retorik daripada fakta.
Beliau mengulas kritikan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang baru baru ini mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli kerana kononnya Rafizi mengamalkan politik balas dendam kepada pembangkang.
“(Dia) kena baca dulu (komen Rafizi sepenuhnya). Dia kena tengok dulu apa yang Rafizi cakap, jangan ambil luar konteks
“Apa yang dia cuba nak bawa (dalam kritikannya), saya tak faham. Wan Saiful minta jelaskan apa yang dia nak bawa,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya itu, PN sewajarnya menjadi pembangkang yang membina. Bukan hanya mengkritik tanpa hala tuju yang jelas.
“Bawa fakta kalau ada apa yang kerajaan kata tak betul atau ada isu, bawa fakta. Kalau tidak, dia macam tidak membawa apa apa manfaat dalam pertukaran pendapat (antara kerajaan dan pembangkang).
“Jadilah pembangkang yang konstruktif,” katanya lagi.
Kelmarin, Wan Saiful mengulas kononnya kenyataan Rafizi tidak berhemah kerana pemimpin PN akan “terduduk” selepas Kerajaan jelaskan mengenai mekanisme kawalan harga.
Beliau berkata sifat angkuh itu menyebabkan pemimpin Kerajaan sering salah sasaran dan menyelesaikan isu rakyat.