Kebocoran data yang didedahkan di media sosial kelmarin telah disiasat oleh agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil siasatan awal mendapati kebocoran data melibatkan pihak Maybank dan Astro itu melibatkan nombor akaun yang tidak sah.
“KKD melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (CSM) sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro berhubung dakwaan kebocoran data bagi memastikan kesahihan pemilikan data.
“Pada masa sama, siasatan awal ke atas maklumat nombor akaun Maybank yang dipaparkan dalam laman sesawang berkenaan mendapati akaun-akaun berkenaan tidak sah atau tidak wujud kerana transaksi tidak boleh dilakukan melalui nombor akaun tersebut.
“Siasatan awal juga mendapati terdapat potensi data yang didakwa bocor merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018.
“Walau bagaimanapun pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709],” katanya dalam satu kenyataan.
Berkenaan kebocoran data yang didakwa melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula, kata Fahmi, siasatan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta 709.
“Notis sekatan juga telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan menghalang orang awam mengakses laman sesawang tersebut.
“Saya ingin mengingatkan semua Pengguna Data agar sentiasa memastikan tahap keselamatan siber berada pada paras yang baik dan sentiasa mematuhi prinsip dan standard perlindungan data peribadi selaras dengan Akta 709,” katanya.
Untuk rekod, laporan kebocoran data di bawah KKD melalui Menteri yang baharu akan disisat secara serius meskipun berbentuk pendedahan di media sosial.
Hal itu dilakukan bagi memastikan keyakainan awam dan pelabur terhadap keselamatan data di Malaysia berada pada tahap tertinggi.