KAHERAH -Kumpulan Persaudaraan Islam (Ikhwan) Mesir, semalam, meraih kemenangan bersejarah setelah calon mereka, Encik Mohammed Mursi, dipilih sebagai Presiden Mesir dalam pilihan raya presiden pertama negara itu sejak pemberontakan menggulingkan mantan Presiden Hosni Mubarak bermula tahun lalu.
Televisyen rasmi Mesir melaporkan bahawa kiraan awal undian menunjukkan Encik Mursi berada di depan pesaingnya dengan Ikhwan mengumumkan beliau memenangi 52 peratus undi pusingan kedua pilihan raya presiden itu.
Jika Encik Mursi disahkan sebagai pemenang, ia menandakan kali pertama calon daripada golongan Islamis dipilih sebagai presiden negara Arab paling ramai penduduk itu.
Dalam satu ucapan ringkas di ibu pejabat kempennya, Encik Mursi berikrar akan “bekerjasama dengan semua rakyat Mesir demi masa depan lebih baik, kebebasan, demokrasi, pembangunan dan keamanan”.
“Kami tidak ingin membalas dendam atau membuat perhitungan,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan membina negara yang modern, demokratik untuk semua rakyat Mesir, Islam dan Kristian.
Namun, pesaingnya, Encik Ahmed Shafiq, mantan ketua tentera udara dan perdana menteri dalam era pemerintahan Encik Mubarak, mempertikaikan kemenangan calon Ikhwan itu dan melabelnya sebagai “kelakuan pelik”.
Menurut pegawai kempen Encik Shafiq, kiraan mereka menunjukkan Encik Shafiq berada di depan dalam kiraan undi.
“Kami menolak (keputusan itu) sepenuhnya. Kami terperanjat dengan kelakuan pelik ini yang sama seperti merampas keputusan pilihan raya,” kata Encik Mahmud Baraka mengenai dakwaan Ikhwan berkaitan kemenangan Encik Mursi.
Kemenangan Encik Mursi itu tiba sedang pihak tentera, yang memerintah Mesir, kini memberikan dirinya kuasa meluas melalui dokumen perlembagaan baru yang dikeluarkan sejurus sebelum pusat undian ditutup kelmarin.
Dokumen yang dikeluarkan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) memberikan badan itu kuasa perundangan setelah Mahkamah Tinggi Mesir memerintahkan pembubaran parlimen yang dikuasai golongan Islamis, Khamis lalu.
Pergerakan pemberontakan belia mengecam langkah itu sebagai “rampasan kuasa”, sementara sayap politik Ikhwan, Parti Kebebasan dan Keadilan, menolak sebarang usaha tentera mengambil semula kuasa perundangan. – AFP.