Gelombang PN yang melanda khususnya di 3 negeri lingkaran Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu bakal dijinakkan oleh Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri yang dijangka 5 bulan daripada sekarang.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Yahya Sahri berkata mesyuarat majlis Presiden PH semalam telah pun memutuskan untuk menganjurkan konvensyen pilihanraya di setiap negeri mulai bulan Januari ini bagi mempersiapkan jentera di peringkat negeri.
“Respons semuanya dari presiden dan pimpinan… perlu ada penelitian dari peringkat negeri (gelombang PN), terutama peringkat MB Selangor, MB Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat yang dipengerusikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ada memberikan respons. Prosesnya, yang pertama pada minggu depan akan diadakan konvensyen pilihanraya negeri Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu. Naikkan mood balik, beri panduan dan naratif.
“Bagi pihak Selangor selaku Pengarah Pilihanraya Negeri, Pak Ya telah memberikan notis dan juga pengarahan pimpinan cabang untuk laksanakan konvensyen Selangor pada 14 Feb ini.
“Kita akan melibatkan lebih 1,000 perwakilan dari 22 cabang dan arahan telah kita keluarkan,” kata Yahya yang merupakan penggerak utama jentera pilihanraya KEADILAN Selangor sejak 2007.
Selain itu, katanya, satu strategi perlu difikirkan untuk meningkatkan kekuatan PH di Kedah, Kelantan dan Terengganu bagi memecahkan dominasi PN.
“Kita perlu ada kemampuan tawan Kedah. Kali ini kita ada gabungan dengan BN. Terengganu dan Kelantan kita akan buat lonjakan baru.
“PN mungkin rasa kebal bila menang semua parlimen Kelantan, Terengganu dan PH mempunyai 1 kerusi di Kedah serta Pulau Pinang mereka berjaya tawan Permatang Pauh.
“Oleh itu kita dalam PH bersama Kerajaan Perpaduan ada misi berbeza kali ini. Kita akan menunjukkan polisi yang kita buat dan memberi kesan kepada rakyat,” katanya.
Ditanya mengenai peranan beliau sebagai Pengarah Mobilisasi KEADILAN Malaysia, Yahya berkata banyak program telah pun dilakukan pada PRU lalu.
Katanya Biro Mobilisasi telah mengerakan siri Jelajah Mega KEADILAN yang melancarkan lagu Hoi Hoi Ya Hoi yang begitu popular menjelang PRU.
Begitu juga program ceramah Jelajah Harapan yang dilancarkan di Johor.
“Cuma program rakyat kali ini mungkin agak ringan kerana boleh dibantu promosi kerjaaan kerana PM, Menteri pergi,” katanya lagi.