Peruntukan pembangunan ke Terengganu selepas ini tidak akan begitu lancar kerana sikap buruk pemimpin Kerajaan Negeri Terengganu yang sombong dan enggan menyambut lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri itu minggu lalu
Menurut pemimpin KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, kejadian tersebut pasti akan mengeruhkan hubungan antara negeri dan Persekutuan yang memberi kesan akhir kepada semakin sukarnya kehidupan rakyat di negeri pembangkang.
“Macam mana nak lancar peruntukan dengan sikap biadap mereka (pemimpin Pas).
“Mereka telah menunjukan sikap biadap terlebih dahulu dengan bukan sahaja tidak menghormati dan menyambut PM, tetapi lebih awal daripada itu pemimpin dia (Pas) pun telah memfitnah PM dengan isu liwat, ambil gaji (lumayan sebagai penasihat ekonomi) Selangor hingga PM terpaksa gunakan saman mahkamah untuk menghentikan fitnah keterlaluan.
“Macam mana nak membina hubungan harmoni antara kerajaan Pas Terengganu dan Persekutuan,” katanya.
Tambah Azan, pemimpin Kerajaan Negeri sebaliknya perlulah lebih matang dan profesional dalam menguruskan hubungan dua hala bagi melicinkan urusan antara negeri dan Persekutuan.
Hubungan yang buruk, katanya, akan menyebabkan projek Persekutuan berkurangan di Terengganu, apatah lagi projek yang memerlukan pertimbangan PM.
“Saya (dalam hal ini) nampak kerajaan pimpinan Pas tidak matang dan tidak tahu jaga keharmonian hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dengan mereka lemparkan fitnah dan juga menggambarkan suasana tidak elok,” katanya lagi.
Beberapa hari lalu Anwar mengadakan lawatan kerja ke Terengganu untuk mengadap Tuanku Sultan membincangkan beberapa kepentingan rakyat negeri itu.
Kemudian PM mengambil peluang berjumpa pegawai kerajaan seluruh agensi dan mendengar taklimat serta berdialog di Universiti Malaysia Terengganu.