Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, sebanyak 22 kerusi Parlimen dipertandingkan di Selangor yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menang 16 kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) dengan enam kerusi.
Pengarah Operasi Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, meskipun keputusan PRU15 tidak seperti apa yang diharapkan namun waktu ini bukanlah masa untuk berputus asa.
Katanya, PKR sudah meneliti pelbagai faktor dan mengambil iktibar daripada kekalahannya dalam PRU15 yang menyaksikan tiga kerusi Parlimen (Kapar, Hulu Selangor dan Kuala Langat) yang ditandingi Parti itu di negeri Selangor dirampas oleh PN.
“Tindakan yang diambil sejurus PRU15 adalah dengan meneliti di mana kesilapan-kesilapan sendiri pada peringkat dalaman.
“Tindakan kita dengan undur ke belakang dan melihat kelemahan sendiri seperti mana permainan bola sepak begitu juga dalam pilihan raya, di mana posisi pertahanan dan penyerang akan diperkuatkan untuk memenangi sesuatu perlawanan,” katanya
Dalam pada itu, beliau turut kesal dengan cara berkempen oleh PN yang dianggapnya tidak sihat dan tidak matang.
“Dalam mana-mana pertandingan, pihak musuh cuba apa sahaja cara janji dia menang.
“Walaupun kadang-kadang perkara yang dibuat itu tidak mengikut etika dan lunas-lunas yang sepatutnya dengan tindakan melampau mereka,” kata Yahya.
Pada PRU15 yang lalu, PN dikatakan banyak menggunakan sentimen agama dan kaum untuk meraih golongan pengundi muda menerusi medium media sosial dalam kempen mereka.
Katanya lagi, PKR Selangor akan membuat persediaan awal dalam masa terdekat untuk mendepani PRN Selangor khususnya untuk mempertahankan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih dalam blok kerajaan.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan PH optimis mampu menang di antara 45 hingga 47 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam PRN akan datang di negeri itu.
Beliau berkata sasaran itu berdasarkan data awal pilihan raya yang diperoleh pihaknya.