Walaupun masih belum memberi isyarat jelas pilihan raya akan diadakan dalam tempoh terdekat, namun kemungkinan tetap wujud PRU ke 13 akan berlangsung Julai depan sebelum ketibaan bulan Ramadan.
Hal itu ditegaskan oleh ketua umum PKR Anwar Ibrahim dalam Konvensyen PKR Perak di Dewan Chin Woo, Ipoh semalam.
“Kemungkinan bulan Julai ada. Sebab lagi lama (BN) tangguh, lagi banyak masalah (mereka),
“(Mungkin) minggu kedua Julai, sebelum Ramadan. Sekarang ini keluar di Sarawak Report tentang kerajaan Sabah melibatkan Musa Aman,” kata Anwar merujuk laporan laman web itu sejak April 2012 mendedahkan Musa secara sistematik merompak rakyat Sabah mulai 1996 dengan mengaut keuntungan haram melalui rasuah jualan balak.
Anwar mengingatkan ahli PKR agar tidak berasa selesa dengan mood sokongan yang cenderung menyokong Pakatan Rakyat, akhir-akhir ini.
“Jangan sekal-kali andaikan orang akan sentiasa menyokong kita. Ada yang kata, orang Cina akan sokong kita. Belum tentu. Mereka juga lihat kepada calon-calon.
“PKR ini parti Islah (Reformasi) Mesti mampu bawa perubahan. Kalau kita engkar, belum tentu orang akan sokong kita,” tegasnya.
Tambah Anwar, penentu kemenangan ialah keupayaan, persiapan jentera, kekuatan dan disiplin anggota yang tinggi, dalam masa sama bermuafakat bersama parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.
“Pertahankan kerjasama, muafakat dengan PAS dan DAP. Ini kena ada dalam adat berjemaah.
“(Kini) rakyat cuba dibenam dengan maklumat yang tak kesampaian. Isu skandal yang berbangkit akan tenggelam,” kata Anwar.