Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan utama pengundi di negara ini untuk mentadbir negara manakala Pakatan Harapan (PH) masih merupakan koalisi utama politik untuk diangkat sebagai kerajaan.
Dapatan itu diperolehi dalam tinjauan pendapat awam yang dijalankan oleh Endeavour-MGC membabitkan 1,068 responden dari semua kaum. Di mana 791 daripadanya adalah Melayu yang dipilih melalui persampelan rawak berstrata.
“Sebanyak 46% responden semua kaum dan 32% responden Melayu mahu Anwar memimpin negara pada waktu ini
“Bekas PM, Mahiaddin Yassin pula menjadi pilihan kedua dengan 25% responden Melayu dan 17% responden semua kaum berpandangan beliau sesuai menjadi PM.
“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Khairy Jamaluddin dalam pada itu memperoleh 6% daripada responden semua kaum,” kata tinjauan terbabit.
Bagi koalisi memerintah, 39% daripada responden semua kaum memilih PH sekiranya pilihanraya diadakan dalam masa terdekat. BN memperoleh 18% dan PN sebanyak 17%.
Manakala bagi isu isu yang menjadi tumpuan utama pengundi, 22% responden semua kaum memilih faktor agama, dengan 30% responden Melayu mengutamakan faktor agama.
Faktor calon pula menjadi pilihan kedua dengan 27 responden semua kaum dan Melayu memberi pertimbangan sedemikian
Tinjauan tersebut dijalankan dari 4 hingga 18 April lalu. Purata responden lelaki dan wanita masing- masing 50%. Berdasarkan kaum pula, Melayu mewakili 62.2%, Cina 28.7%, India 8.2% dan lain-lain 0.9%.