Shah Alam : Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali menyelar tindakan Kerajaan Pusat yang cuba meniru program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).
“Tindakan kerajaan pusat dengan mengadakan Program interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk penduduk Selangor gagal menepati sasaran,” katanya.
Menurutnya, program tersebut seakan meniru inisiatif Pakatan Rakyat Selangor yang memperkenalkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) telah berjalan semenjak 2009 dan mendapat sambutan yang sangat baik.
Tindakan Kerajaan Pusat Umno-BN jelas menunjukkan program yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri mendapat sambutan positif oleh rakyat Selangor.
“Mengapa PM pilih Selangor? Sedangkan beliau mengetahui Kerajaan Negeri dah lama ada Program Tuisyen Rakyat Selangor untuk pelajar negeri ini.
“Sepatutnya PM boleh salurkan kepada negeri-negeri lain terutama negeri yang memiliki paras kemiskinan yang tinggi yang belum ada program seumpama ini,” katanya.
Ujarnya lagi, tindakan kerajaan pusat yang hanya menyalurkan program itu ke Selangor menggambarkan niat sebenar BN yang tidak ikhlas, iaitu untuk merampas Selangor kembali dalam pilihanraya umum.
Beliau kata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) di Shah Alam Convention Centre, di sini.
Kerajaan negeri memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga miskin yang prestasi akademiknya sederhana menghadiri kelas tambahan (PTRS) yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.
Setakat ini PTRS telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 pelajar Selangor.