Cadangan Kerajaan Madani untuk menggantikan kategori pendapatan T20, M40 dan B40 kepada klasifikasi baharu bukan bermakna terdapat usaha untuk menamatkan bantuan kepada golongan miskin.
Hal itu dijelaskan oleh Ketua Cabang KEADILAN Kuala Terengganu, Azan Ismail dalam menjawab kekeliruan yang cuba ditimbulkan kepada masyarakat di luar bandar bahawa Kerajaan sedang cuba menamatkan bantuan rakyat miskin dengan cadangan menukar kategori pendapatan mereka.
“Terdapat rasa bimbang (konon) ada usaha nak mengklasifikasikan semula B40. Di Terengaganu ini ada yang susah hati takut mereka tidak lagi berada dalam B40 dan tidak boleh menerima bantuan kerajaan.
“Sebenanrya bukan begitu, penarafan B40 ini bukan berdasarkan kepada statistik tetapi berdasarkan pendapatan isi rumah.
“Di Terengganu misalnya memang banyak isi rumah miskin, malah miskin tegar yang pendapatan mereka bawah RM2,000 sebulan. Memang mereka berada dalam kategori itu (perlu bantuan). Jadi nak klasifikasikan semula B40 atau M40 tidak merubah jumlah orang yang layak terima bantuan.
“Pengiktirafan bukan untuk mengeluarkan orang miskin di Terengganu supaya tidak lagi menerima bantuan. Dia hanya memberi kategori baru,” katanya dalam satu siaran media.
Sebaliknya, kata beliau, yang ditumpukan oleh Kerajaan Perpaduan di Terengganu adalah mahu mengeluarkan terus rakyat yang berada dalam kategori miskin tegar.
“Apa yang kita tumpu di Terengganu ialah mengeluarkan kumpulan miskin dan miskin tegar yang berjumlah melebihi 10,000 keluarga supaya tidak lagi berada dalam miskin tegar.
“Itu yang nak dibuat, dengan apa sahaja usaha seperti suntikan modal berniaga kecil kecilan agar mereka ini tidak lagi dalam kategori berkenaan,” katanya.
Justeru, Azan menasihatkan masyarakat di kampung kampung agar tidak termakan dakyah atau naratif yang dijaja untuk memalingkan mereka daripada mengundi Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.