Kemenangan Perikatan Nasional di 22 kerusi DUN Selangor dalam Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos lalu berpunca daripada kekuatan naratif media sosial pembangkang.
Meskipun tohmahan yang dilemparkan kononnya dana KWSP telah lesap atau kejatuhan Selangor akan mengubah Kerajaan Persekutuan tidak masul akal, namun apabila pelbagai pempengaruh di TikTok mengulang ulang perkara tersebut, pengundi Selangor yang ‘pandai’ menilai akhirnya terpengaruh.
Bagi Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi, keadaan tersebut memerlukan Kerajaan Negeri dan Persekutuan melihat keperluan menyediakan pasukan media sosial yang lebih teratur kerana katanya, zaman telah berubah daripada era akhbar dan televisyen kepada Facebook dan kini maklumat untuk generasi muda terfokus kepada TikTok.
“Bagi saya kita kena adapt dengan perkembangan zaman. Kalau dulu zaman suratkhabar, waktu itu kita pembangkang kerajaan kawal total (media), kita berakhir ke media sosial. Kita berjaya menguasai naratif media sosial sehingga kita menang besar dalam beberapa pilihanraya.
“Media sosial ada evolusi zaman Youtube, FB dan Twitter kini ada Tiktok. Suka tak suka kita kena menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.
“Zaman ini anak muda lebih tertumpu kepada TikTok sebagai alternatif mereka dapat maklumat. Anak muda tak baca suratkhabar, bagi mereka benda yang panjang ini dia tak nak baca, dia buat video dan cakap pasal benda itu. Ini lebih mudah mereka terima dan faham,” katanya kepada Suara Keadilan.
Bagi Najwan, beliau menyokong penuh sekiranya Kerajaan Negeri atau Persekutuan memikirkan untuk mewujudkan unit media sosial sebagai cabang kepada media tradisional ketika ini seperti akhbar dan laman web milik kerajaan.
“Saya sokong jika Kerajaan Negeri dan Persekutuan kalau ada satu unit yang menggerakkan informasi melalui kandungan TikTok, ini kena pada masa.
“Untuk kita dekati dan juga perbetulkan kembali penerimaan informasi pengundi muda dan juga pengundi berusia pun guna Tiktok,” katanya.