Kontroversi dakwaan Faekah Husein memberi surat sokongan agar agensi guaman anak saudaranya menjadi panel peguam anak syarikat kerajaan negeri (GLC) sewajarnya diselesaikan secara telus oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
Faekah adalah Setiausaha Politik MB dan sebarang salah laku atau unsur salah laku akan menyebabkan nama baik MB tercemar, seterusnya mencemar akauntabiliti pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) Selangor.
Khalid sepatutnya bertindak lebih berani menghadapi bekas orang kanan Dr Wan Azizah itu. Lupakan sebarang hubungan Faekah dan PKR. Ketelusan perlu dilaksanakan. Sekiranya pegawai rendah dikenakan tindakan tatatertib apabila terlibat dengan unsur-unsur yang tidak disenangi kerajaan negeri, pegawai yang lebih tinggi juga sepatutnya dikenakan tindakan yang sama.
Sokong ketelusan
Mungkin Khalid boleh bersikap tidak acuh terhadap asakan musuh politik seperti Noh Omar, Shukor Idrus atau sesiapa sahaja, tetapi bukan terhadap rakyat. Khalid wajib sedar majoriti sokongan Melayu Selangor masih kepada Umno dan sangat sukar untuk menambah sokongan kaum itu.
Sokongan kepada PR datang daripada kaum Cina yang menyokong pentadbiran kerajaan negeri. Kaum Cina menganggap pentadbiran di bawah Khalid telus, sama seperti diamalkan Lim Guan Eng di Pulau Pinang.
Namun dengan kes terbaharu ini serta perlantikan Faekah menjadi sebahagian Ahli Lembaga Pengarah Unisel, amat menyulitkan Khalid untuk menandingi rekod cemerlang Guan Eng. Faekah tidak seharusnya menjadi ahli lembaga pengarah kerana tidak mempunyai latar belakang akademik yang mengkagumkan.
Tentu tidak ada sesiapa mempersoal perlantikan Dr Che Rosli, seorang pakar nuklear menjawat ahli lembaga pengarah, dan diakui Khalid perlantikan beliau untuk memudahkan Unisel menubuhkan fakulti kajian nuklear di universiti berkenaan. Tetapi apakah keperluan seorang setiausaha politik di posisi lembaga pengarah?
Tindakan itu hanya menimbulkan kerumitan kepada PR mempertahankan diri dari serangan Umno yang bertali arus. Terbaharu, Noh Omar menyerang perlantikan ahli politik ke dalam universiti sebagai campurtangan langsung terhadap autonomi Unisel.
Mungkin sekiranya Khalid mentadbir Kelantan dan imejnya sekuat Tok Guru Nik Aziz maka perlantikan sedemikian rupa tidak menjejaskan sokongan politik. Namun situasi amat tertekan di Selangor dengan BN memerlukan hanya 5 kerusi sahaja untuk mendapatkan ‘simple majority’ menguasai kerajaan negeri.
Dengan pengundi hantu yang ditambah sekitar 300,000 orang dan pendatang asing mengundi di Selangor, pertahanan PR hanya bergantung kepada kesedaran rakyat dan keinginan mereka kepada kerajaan yang telus. Sebaliknya, penolakan rakyat walaupun dalam jumlah kecil akan bertukar menjadi bencana buat PR.
Tidak dinafikan, semakin ramai generasi muda yang menyokong program Merakyatkan Ekonomi Selangor tetapi sokongan generasi muda bersyarat. Mereka tidak sama dengan bapa atau datuk mereka yang menyokong Umno BN sehingga ke liang lahat.
Jangan berdegil
Mereka berubah pada 2008 kerana ingin mencuba pentadbiran yang dijanjikan telus dan menolong sedaya upaya meringankan beban hidup rakyat. Mereka menyokong kerana beberapa janji pilihan raya telah terlaksana. Namun generasi yang boleh berfikir untuk beralih dari mengundi BN juga boleh berfikir untuk kembali semula kepada BN.
Khalid dikatakan seorang yang tegas dalam haluan politik dan tidak mahu mendengar ‘nasihat’. Malah dikatakan tiada siapa yang mampu mengawal beliau malah Anwar sekali pun. Oleh itu, dituntut Khalid bertindak lebih bijak.
Seseorang yang degil dengan pendiriannya harus mempunyai pertimbangan yang tepat dalam setiap masa. Andainya tersalah, tiada siapa yang akan membetulkannya maka akibatnya amat buruk, PR pasti kehilangan Selangor dalam PRU akan datang.
Masih ada waktu untuk menjernihkan keadaan di Selangor. Sekurang-kurangnya individu yang terlibat kontroversi wajar diberi surat tunjuk sebab dan surat amaran. Andai tindakan lebih tegas seperti penggantungan jawatan, turun pangkat atau pemecatan tidak mahu diambil.
Kegagalan Khalid berbuat demikian akan menyemarakkan lagi kritikan terhadap beliau dan PR. Maka tiada apa yang boleh dilakukan menghadapi kempen agreasif BN di Selangor dalam PRU akan datang.