DNAA bukanlah pembebasan penuh – William Leong
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan bukanlah pembebasan penuh.
Menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Kee yang juga seorang peguam, pendakwaraya masih boleh mendakwa semula Zahid menggunakan asas kes sebelum ini pada masa hadapan sekiranya mempunyai bukti yang kukuh.
“DNAA (pendakwaraya) boleh mendakwa semula, ia hanya pelepasan sementara kerana pendakwaan akan membuat siasatan yang lebih lanjut,” katanya.
Jelas beliau, walaupun wujud elemen prima facie namun pihak pendakwaraya berhak untuk meneruskan atau sebaliknya kes yang dibawa sebelum hakim membuat keputusan pada akhir sidang mahkamah.
“Prima facie membawa erti mahkamah mendapati pihak pendakwa mempunyai bukti untuk sabit tertuduh dan sekiranya tertuduh tidak berkata apa-apa maka boleh disabit dan dihukum.
“Namun, dalam kes ini kuasa mendakwa dalam Perlembagaan diberi kepada Peguam Negara (pihak pendakwa), jadi pihak pendakwa berkuasa untuk tarik balik atau hentikan dakwaan,” ujarnya.
Untuk rekod, Ahmad Zahid sebelum ini menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Surat representasi itu antara lain mengemukakan bukti dan fakta baharu bahawa dirinya tidak bersalah.
Lanjutan daripada itu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan untuk AGC membuat siasatan dengan lebih terperinci.
Mengulas lanjut, kata William, representasi surat tersebut menyebabkan pihak pendakwa bertindak menyiasat lebih mendalam berhubung perkara yang ditimbulkan dalam surat tersebut.
“Dakwa (pasukan guaman) Zahid kalau siasatan dengan lebih terperinci mereka mendapati bahawa dia tidak bersalah.
“(Jadi) pihak pendakwa memberi tahu kepada hakim mereka hendak siasat dengan lebih mendalam perkara yang dibangkitkan oleh Zahid dalam surat tersebut,” kata William lagi.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan, melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Presiden UMNO berkenaan atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.