Rakyat Malaysia seharusnya beralih kepada penggunaan motosikal elektrik secara signifikan menjelang 2030 untuk memelihara alam sekitar.
Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, penggunaan motorsikal elektrik sepatut telah mendapat galakan bersungguh sungguh daripada pihak kerajaan berbanding kereta elektrik.
Memandangkan, katanya, laporan Malaysia BCG-WWF telah menggalakkan penggunaan motosikal elektrik lebih tinggi berbanding kereta elektrik berdasarkan perbandingan penggunaan kenderaan peribadi rakyat Malaysia.
“Walau bagaimanapun, pengambilan motosikal elektrik nampaknya lebih perlahan daripada kereta elektrik.
“Trend ini janggal kerana motosikal elektrik akan mempunyai kesan yang lebih besar kepada kehidupan rakyat biasa kerana kemampuan relatifnya dan kemudahan (digunakan). Sehingga hari ini, kereta elektrik dijual (lebih mahal) dengan julat melebihi RM150,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Pengarah Komunikasi KEADILAN itu, kerajaan sewajarnya menggalakkan rakyat beralih kepada penggunaan motorsikal elektrik memandangkan 45% daripada semua kenderaan di jalan raya adalah motosikal dan turut menyumbang kepada peningkatan perlepasan karbon.
“Kerajaan harus menyediakan sokongan menyeluruh bagi peralihan motosikal intensif karbon, sistem berkuasa bahan api fosil dan berkelajuan tinggi, kepada karbon rendah, sistem berkuasa elektrik yang lebih selamat dan berkelajuan rendah
“Untuk menerima penyahkarbonan pengangkutan di semua peringkat, saya menyeru kerajaan untuk menetapkan sasaran untuk peralihan kepada motosikal elektrik penuh iaitu motosikal elektrik harus terdiri daripada 40% jumlah volum industri (TIV) menjelang 2030, dan 100% menjelang 2040,” katanya lagi.
Dalam pada itu, kata Chean Chung, pelbagai kementerian pula harus dilibatkan dalam usaha menggalakkan dan memudahkan rakyat menggunakan motorsikal elektrik, seperti Kementerian Kewangan dalam memperkemas dan mengoptimumkan sistem AP francais motorsikal. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menyesuaikan Program Pemimpin Global BEV untuk menggabungkan motosikal elektrik
Manakala Kementerian Pengangkutan mengkaji semula kurikulum semasa di semua pusat pembelajaran memandu bagi menggabungkan modul menunggang motorsikal elektrik.
Juga katanya, lebih banyak pembabitan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan lainnya dalam galakan penunggang khususnya melibatkan syarikat penghantaran makanan menggunakan motorsikal kuasa elektrik.
Selain itu, kata Chean Chung, beliau akan berusaha untuk meyakinkan rakyat beralih ke penggunaan motorsikal elektrik terutama untuk pengangkutan bandar demi mengurangkan pencemaran udara di bandar bandar utama Malaysia.