Saiz ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur (KL) mungkin kurang sesuai untuk menjadi metropolitan bertaraf dunia.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mencadangkan agar ibu kota itu dikembalikan ke Selangor dan bergabung dengan beberapa bandar satelit lain bagi menjadikannya metropolitan unggul.
“Mengapa saya cadangkan KL dikembalikan kepada Selangor untuk membentuk metropolitan mega KL?
“Ada beberapa sebab. Pertama, untuk membentuk perancangan bandar yang lebih holistik. Dengan ini, pengangkutan awam kita dilengkapkan secara lebih komprehensif dan cekap. Tebatan banjir boleh diadakan projeknya untuk membantu bandar kita.
“Ketiga, perumahan. Dengan adanya sinergi antara KL dan Selangor barulah mampu kita bebaskan tanah untuk membina rumah mampu milik bagi membantu anak muda kita,” katanya dalam satu siaran media di Tiktok.
Menurut Chean Chung lagi, saiz yang sesuai pasti akan meningkatkan keupayaan Kuala Lumpur menjadi kota perdagangan utama di Asia Tenggara.
“Dengan terbentuknya metropolitan Kuala Lumpur, barulah mampu kita bersaing dengan Hanoi (Vietnam), Thailand, Jakarta (Indonesia) dan Singapura,” ujarnya.
Selain itu, kata beliau, masalah persekitaran kawasan kejiranan dan bantuan kepada warga miskin akan lebih mudah disalurkan sekiranya warga Kuala Lumpur diserap ke dalam skim bantuan kerajaan Selangor.
“Jika anda merupakan pengundi di KL, anda akan dapat hak undi kedua, iaitu hak untuk memilih ADUN di KL untuk membantu menyelesaikan masalah di sana dan isu tempatan lain.
“Terakhir sebagai warga KL, boleh menikmati kebajikan yang ada di Selangor. Dengan adanya lebih 40 iltizam di Selangor maka anda boleh menikmati skim kebajikan, khairat kematian dan lain lain,” katanya lagi.
Untuk rekod, Kuala Lumpur asalnya sebahagian daripada daerah di Selangor dan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada 1 Februari 1974.
Bagaimanapun saiz ibu kota ini sekitar 244 km persegi manakala Jakarta 661.23 km persegi, Hanoi 359.82 km persegi dan Singapura 687 km persegi. Teori wailayah kecil lebih mudah dimajukan pada era 1970an telah berlalu, pada waktu ini wilayah yang lebih besar akan mempunyai sumber yang lebih banyak terutama bakat (talent) penduduk dan tanah untuk penempatan.