Pengumuman kumpulan yang digelar ‘Kerajaan Negeri 4’ atau SG4 ditadbir Pas bakal melantik bekas Perdana Menteri (PM) Tun Mahathir Mohamad sebagai penasihat merupakan tamparan hebat kepada Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.
Menurut Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, dengan pengumuman itu maka terserlahlah tindakan Pas ingin membelakangkan Muhyiddin yang pada waktu ini menerajui kepimpinan PN.
“Muhyiddin ditolak oleh Pas. Pas hari ini (seolah olah) mahukan Mahathir untuk menerajui kepimpinan PN.
“Itu sebabnya, bilamana kumpulan 4 MB ini yang terdiri daripada MB setiap negeri (ditadbir Pas) berserta dengan Hj Hadi (Presiden Pas) dan Takiyuddin telah mengadakan satu pertemuan dengan Mahathir tanpa membawa sama Muhyiddin,” katanya dalam siaran langsung Facebook malam tadi.
Menurut Lokman, Pas mungkin bertindak demikian kerana tersedar peluang keemasan membentuk kerajaan di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong pada November tahun lalu telah disia siakan begitu sahaja kerana kebongkakkan Muhyiddin yang mahu menjadi PM, tidak mahu berkompromi dengan Pengerusi Pakatan Harapan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebenarnya Pas tahu mereka tidak boleh pergi dengan Muhyiddin akibat ketamakan Muhyiddin tidak mahu menjadi Timbalan PM, masih nak PM walaupun mereka (PN) hanya ada 73 kerusi ketika itu, Anwar ada 82 kerusi, (tetapi Muhyiddin) masih tetap nak jadi PM.
“Maka akhirnya hari ini semua menjadi mangsa dan bakal menjadi kluster mahkamah termasuklah Mahathir
“Hari ini mereka berpakat nak sailang Muhyiddin dan selepas ini kita tengok Mahathir secara rasminya diangkat menjadi penasihat kepada keempat buah negeri (Pas),” ujarnya.
Bagaimanapun, menurut Lokman, langkah politik tersebut mungkin hanya strategi politik jangka pendek Pas yang meletakkan Mahathir sebagai penasihat serta tidak memikirkan akibat jangka panjang di belakangnya.
Bagi Lokman, zaman Mahathir telah pun berlalu dan tokoh itu tidak lagi punya idea bernas untuk disumbangkan untuk memajukan negeri yang ditadbir Pas.
“Hari ini kerosakan kepada negara dalam tempoh 22 bulan jadi PM (Malaysia) dia (Mahathir) nak bawa pula ke 4 buah negeri yang dipimpin pemimpin Pas.
“Saya tak tahu apa yang difikirkan oleh pemimpin Pas ini sehingga mahazalim ini nak diangkat menjadi penasihat
“Bagi saya busuk busuk Muhyiddin pun sekurang kurangnya dia boleh beri dana kepada calon Pas yang bertanding atas tiket Pas atau PN. Tetapi ambil Mahathir apa pun tak guna,” katanya sinis.