Peningkatan harga beras import sehingga menganggu bekalan beras putih tempatan (BPT) bermula September ini menyebabkan kekhuatiran masyarakat mengenai situasi bekalan beras negara.
Dalam hal ini, Pengerusi Biro Petani KEADILAN, Dr Azman Ismail mengingatkan orang ramai untuk tidak melakukan pembelian panik kerana hal itu boleh menjejaskan bekalan beras bersubsidi.
Katanya, pada ketika ini bekalan beras negara mencukupi dan hanya memerlukan langkah intervensi oleh kerajaan bagi memastikan pengedaran makanan ruji itu dapat dibuat secara menyeluruh.
“Tinjauan saya di sekitar Seberang Perai (Pulau Pinang) mendapati orang ramai mula membuat ‘panic buying’ (pembelian panik) jadi ia sedikit sebanyak menyebabkan pengguna lain sukar untuk mendapatkan bekalan beras tempatan.
“Oleh itu, peranan kementerian melalui agensi yang berkaitan perlu memastikan pengedaran beras mencukupi kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Selain itu, Dr Azman yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kuala Kedah selama dua penggal, menyarankan kementerian untuk memantau penyeludupan beras haram dan aktiviti penukaran kampit beras tempatan kepada import.
Hal itu katanya terjadi akibat harga beras tempatan adalah jauh lebih murah berbanding negara jiran, yang sekaligus menyebabkan beras bersubsidi itu sering menjadi sasaran penyeludupan pihak tidak bertanggungjawab.
“Berbanding negara lain, harga beras kita (BPT) adalah paling rendah di ASEAN, maka aktiviti penyeludupan dan penukaran beras tempatan (bersubsidi) kepada import (tidak bersubsidi) sering berlaku,” ujarnya.
Pada sisi lain, Dr Azman yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) optimis isu bekalan beras tempatan dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan ini berdasarkan kepada komitmen kementerian dan agensi yang terlibat.
“Melihat kepada kesungguhan kementerian dan agensi yang berkaitan, saya yakin isu beras ini dapat diselesaikan dalam tempoh masa sebulan,” ujarnya.
Sementara itu, semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Program Jualan Rahmah Beras yang menawarkan beras import pada harga antara RM13 hingga RM14 setiap kampit lima kilogram (kg) dengan sasaran agihan kepada golongan memerlukan.
Inisiatif itu dibuat bagi memenuhi keperluan rakyat dengan membuat jualan di kawasan B40, perumahan kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR).