Gambaran yang diberikan oleh Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Sanusi Mohd Nor terhadap ucapan Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 baru baru ini amat terpesong daripada realiti.
Salah seorang pemimpin negara yang menyertai delegasi Malaysia ke PBB, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tiada satu pun gambaran yang diberikan Sanusi itu, kononnya perwakilan dunia keluar dewan sewaktu PMX berucap, adalah benar.
“Astaghfirullah. Itu kata hati nurani saya bila mendengar komen Sanusi mengenai ucapan Anwar Ibrahim di UNGA ke 78 di New York.
“Saya hadir di UNGA tersebut. Saya saksi hidup. Saya di dalam Dewan Persidangan Utama PBB. Saya duduk di kerusi VIP bersama Datuk Nazri Aziz dan Datuk Sharkar.
“Bahkan saya hadir tiga hari berturut turut (Selasa – Khamis) mendengar ucapan ketua ketua negara lain sebelum PMX berucap pada hari Jumaat,” kata Puad dalam catatannya di Facebook.
Menurut Puad, hal sebenar yang berlaku ialah ucapan PMX amat dihargai oleh perwakilan kerana sudah lama Malaysia tidak mengambil pendirian lantang di arena antarabangsa, terutama terhadap kuasa kuasa besar.
“PMX diberi sembilan kali tepukan gemuruh dalam ucapan 15 minit itu. Mukadimah sahaja dapat tepukan gemuruh bila PMX sentuh perang Russia-Ukraine yang beri kesan buruk kepada global.
“Ketika Presiden Iran berucap, dia mengangkat al Quran tetapi tidak ada siapa yang tepuk tangan. Ucapan Presiden Amerika juga tiada sambutan daripada perwakilan,” katanya.
Malah tulisnya, Perdana Menteri New Zealand memberitahu beliau berasa lega kerana orang ketiga berucap selepas Anwar. katanya, beliau akan tenggelam jika berucap selepas Anwar.
Tambah Puad, dalam tempoh berucap 15 minit itu PMX menyentuh isu perang Russia-Ukraine, Palestin, Myanmar, Islamfobia, tenaga boleh diperbaharui yang dipelopori Malaysia serta era perkauman bentuk baharu yang menindas Islam.
Ucapan tersebut, katanya, amat relevan dengan perkembangan dunia semasa dan dipuji oleh para perwakilan bukan sebagaimana digambarkan MB Kedah.
“Ternyata Sanusi kaki fitnah. Apatah lagi guna gambar gambar tanpa usul periksa. Saya rakam banyak foto yang saya lampirkan.
“Sanusi Menteri Besar. Oleh kerana saya saksi hidup maka dia wajar digelar “Pemimpin pembohong” nombor satu Malaysia,” kata Puad lagi.
Sanusi dalam kenyataannya sebelum ini berkata ketika PM berucap tiada khalayak dan yang mendengar hanya delegasi Malaysia. Sedangkan faktanya selepas PMX berucap Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Kadir berkata beliau mendapat banyak ucapan tahniah terutama dalam kalangan diplomat Asia kerana keberanian Datuk Seri Anwar mengkritik kuasa kuasa besar dunia.